21 September 2023, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Mohamad Hazlin Nurul Huda

Machang – Program Majalah dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Kelantan 2023 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Labok, Machang, pada hari ini dilihat dapat mencungkil keterampilan berbahasa dalam kalangan murid sekolah rendah.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Bahagian Majalah DBP, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Machang pada tahun ini mengumpulkan sebanyak 150 orang murid dari sekolah rendah di sekitar daerah Machang.

Sebanyak empat buah sekolah yang terlibat, iaitu SK Labok selaku tuan rumah, SK Dewan Besar, SK Tok Bok dan SK Pangkal Gong.

Menurut Puan Nur Anis Salwani Awang Mohammad yang mewakili Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail dalam ucapan penghargaannya berkata, program MDK diadakan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan murid melalui bahan bacaan yang berkualiti seperti majalah dan buku terbitan DBP.

“Selain itu, tahap penguasaan bahasa Melayu juga dapat diperkasakan lagi melalui program ini dengan menggalakkan pelibatan murid untuk menghasilkan karya yang akan disiarkan dalam majalah,” ujarnya lagi.

Guru Besar SK Labok, Encik Haji Baharudin Hamid pula berkata bahawa penganjuran program seperti ini sememangnya dialu-alukan dan berharap agar para peserta program dapat memanfaatkan program ini dengan menimba sebanyak ilmu yang boleh.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah kuiz peribahasa dan simpulan bahasa, teka ejaan, bina perkataan, membuat ringkasan komik dan kuiz Menara Belon yang menguji tahap penguasaan perbendaharaan dan kosa kata bahasa Melayu murid.

Menurut seorang peserta program, Qayyum Fahim Hassan dari SK Tok Bok, program yang diadakan sangat menyeronokkan.

Melalui aktiviti “Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa”, saya dapat mempelajari ejaan perkataan yang betul dan hal ini berbeza daripada ejaan yang selama ini digunakan.

Qayyum Fahim Hassan (kiri) dari SK Tok Bok dan Puan Siti Fatimah Jaffar (kanan) dari SK Pangkal Gong.

Sementara itu, Puan Siti Fatimah Jaffar, guru pengiring dari SK Pangkal Gong pula berpendapat bahawa program yang diadakan dapat membantu murid memperbanyak kosa kata bahasa Melayu dan membantu proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dengan cara yang lebih santai dan interaktif.

Program MDK diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada lima kumpulan terbaik dan penyerahan cenderamata kepada semua sekolah yang terlibat.

Aktiviti yang dijalankan dalam Program MDK dapat menguji penguasaan kosa kata murid.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.