Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2023 merupakan pentas yang penting bagi pemerkasaan bahasa dan sastera yang melibatkan pelbagai kaum di negara ini. Selain itu, penganjuran pertandingan ini juga amat penting kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia kerana merupakan wahana bagi masyarakat bersama-sama menzahirkan sokongan dan iltizam dalam usaha mengangkat martabat bahasa dan sastera di negara ini melalui penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah guru dan murid tanpa mengira agama dan kaum dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa menyatupadukan masyarakat di negara ini.
Demikian antara inti pati ucapan YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2023 pada petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Tambah beliau, pertandingan ini juga merupakan wadah dalam mendekati masyarakat khususnya murid sekolah dengan lebih dekat dan mesra. Selain itu, bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan perlu diterjemahkan dengan lahirnya perpaduan yang hakiki dalam kalangan rakyat di negara ini.
Menurutnya lagi, festival ini juga mendukung teras utama falsafah pendidikan negara dan program yang dianjurkan dalam festival ini dapat mengembangkan potensi rohani, emosi dan jasmani masyarakat. Selain itu, program ini juga dapat membina keterampilan, sahsiah diri dan pembentukan akhlak.
Pertandingan ini juga menepis pandangan sempit yang mengatakan bahawa bahasa Melayu hanya untuk penutur Melayu sahaja, tetapi realitinya pada hari ini, bahasa Melayu telah digunakan oleh semua penduduk di negara kita tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan sebagainya.
Sementara itu, menurut YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP) dalam ucapan alu-aluannya pula berkata bahawa penganjuran Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2023 diadakan untuk memastikan bahasa dan sastera Melayu mampu menjadi tiang seri dalam pembinaan tamadun bangsa di negara tercinta ini.
Aktiviti yang melibatkan masyarakat secara menyeluruh dan terangkum ini mampu menjadi pemangkin dalam menjadikan bahasa dan sastera Melayu sebagai wahana perpaduan yang amat dititikberatkan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Tambah beliau, DBP berusaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa negara dalam pembinaan negara bangsa. Namun begitu, usaha pemartabatan bahasa dan sastera sukar mencapai matlamatnya jika hanya DBP sahaja yang melaksanakan amanah untuk memartabatkannya tanpa komitmen, sokongan dan pelibatan semua pihak.
Saya juga berharap agar semua sektor dapat menjadikan DBP sebagai kerabat kerja utama dari pelbagai aspek pembangunan negara terutama yang berkaitan dengan bahasa dan sastera. Bahasa dan sastera juga perlu dijadikan sebagai wahana yang ampuh dalam menjadikan jati diri rakyat Malaysia dalam membentuk perpaduan kaum di negara ini. Hal ini penting bagi mencerminkan bangsa yang bermaruah wajib menjadikan bahasa dan sastera sebagai inti dalam usaha pembinaan bangsa dan negara yang disegani di dunia.
Pertandingan forum ini merupakan kerjasama antara DBP (melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum) dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Penterjemahan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dan Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia (HAN) dan telah menobatkan Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching, Sarawak sebagai juara pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2023.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuklah wakil PERSPEKTIF, ketua-ketua jabatan dan agensi selain guru-guru pembimbing, dan para pelajar serta tetamu undangan.