Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching, Sarawak menjuarai pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2023 pada pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2023, yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini yang membawa pulang wang tunai RM2500.00, Piala Goh Hin San, sijil penyertaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Tempat kedua pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang, Selangor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2000.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1500.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Sementara itu, Anugerah Ahli Panel Terbaik pula dimenangi oleh Chloe Chan Phooi San dari Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang, Selangor manakala Anugerah Pengerusi Forum Terbaik pula dimenangi oleh Aw Jong Yee Zhern dari Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching, Sarawak, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM200.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Johan Koir Peringkat Kebangsaan pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Persendirian Chung Hua, Kuala Lumpur dengan lagu “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Aci-aci Buka Pintu” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2000.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Pada majlis yang sama, Johan Deklamasi Puisi pula disandang oleh Tai Weuy Liang dari Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur, sementara Johan Pidato milik Ray Ong Kaa Rui dari SJKC Batu Sebelas Cheras, Kuala Lumpur dan Johan Pertandingan Bercerita dimenangi oleh Hiu Ee Tyan dari SJK (C) Tung Hua, S2 Height, Seremban, Negeri Sembilan, dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Pertandingan forum ini merupakan kerjasama antara DBP (melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum) dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Penterjemahan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dan Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia (HAN).