22 September 2023, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabah – Program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti dengan tema “Telusuri Bayu Nabalu” telah dirasmikan semalam oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara di Hotel Meridien, Kota Kinabalu, Sabah. Yang turut hadir ialah YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara.

Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa sebuah buku khas untuk bahasa kolokial akan diterbitkan pada tahun hadapan sebagai satu daripada usaha melestarikan keberdayaan bahasa komuniti di negara ini.

Selain itu, Arkib Negara Malaysia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, serta Kementerian Belia dan Sukan agar program advokasi bahasa ini dapat memberikan impak positif dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi penyambung legasi negara.

Program anjuran Arkib Negara Malaysia di bawah Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah ini juga boleh ditonton menerusi laman Facebook rasmi Arkib Negara Malaysia.

“Telusuri Bayu Nabalu” dipilih sebagai tema Program Bicara Bahasa Kolokial ini dengan mengambil kira keunikan negeri Sabah yang dihuni oleh 35 kumpulan etnik dan 214 subetnik yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

Penggunaan bahasa kolokial ini pula merupakan simbolik bagi penyatuan sesuatu kelompok dan bahasa ini yang dilihat mampu menjamin kelangsungan pembentukan negara bangsa kerana bahasa ialah elemen utama yang boleh melahirkan perasaan taat setia dan rasa sepunya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik selain bahasa ibunda etnik masing-masing seperti bahasa Kadazandusun, Bajau, Murut, Rungus, Kimaragang dan Lundayeh.

Program yang melibatkan dua sesi bicara bersama-sama enam tokoh pembicara turut dihadiri oleh presiden dan wakil pelbagai etnik yang bernaung di bawah Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS-SABAH), selain turut dihadiri oleh para ilmuwan, penyelidik, pensyarah, guru-guru, mahasiswa Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, ketua dan wakil jabatan.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah menyampaikan cenderamata kepada YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.