22 September 2023, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Pameran Jawi Jemari Ibrahim Mohd. Don yang menampilkan kira-kira 11 buah kaligrafi karya Encik Ibrahim Mohd. Don masih berlangsung di Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar sejak 10 Ogos lalu. Encik Ibrahim Mohd. Don, 58 tahun, pemilik Bendang Kering Art Studio ialah anak kelahiran Batu Pahat, Johor, yang kini menetap di Kampung Bendang Kering.

10 daripada 11 buah karya kaligrafi yang dipamerkan dalam pameran tersebut dihasilkannya pada tahun 2023. Sebuah karya kaligrafi lagi dihasilkannya pada tahun 2021, iaitu Alhamdulillah (Segala Pujian Bagi Allah) yang berukuran 155 sm x 124 sm.

Menurut Ibrahim, beliau mula berkarya seni yang berkonsepkan Jawi sejak tahun 1987, iaitu ketika menuntut di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dari tahun 1983 hingga tahun 1987.

Ketika itu, saya hanya berkarya kaligrafi Jawi di atas media produk seramik yang memang menjadi kemahiran saya. Saya memilih kaligrafi Jawi atas kesedaran ingin memartabatkan Jawi sebagai khazanah orang Melayu Islam yang semakin dipinggirkan.

“Dari situ, saya mengolah Jawi di atas karya-karya seramik sebagai nilai tambah untuk keindahan karya tersebut. Saya kemudiannya meluaskan pengkaryaan di atas lukisan kanvas agar berkembang ke pelbagai media,” tambah Ibrahim.

Setelah berhijrah ke Kuala Kangsar pada tahun 2006, beliau masih menghasilkan karya kaligrafi Jawi di atas produk seramik, dan di atas kanvas.

“Saya telah mempromosikan karya-karya tersebut menerusi media sosial, yang kemudiannya telah menarik perhatian pihak Perpustakaan Awam Kuala Kangsar. Mereka lantas mengunjungi studio saya di Bendang Kering,” ceritanya lagi.

Yang menariknya, tambah beliau, pihak perpustakaan tersebut menawarkan penganjuran aktiviti pameran dan bengkel menghasilkan lukisan berasaskan Jawi bersama-sama beberapa buah sekolah seni di daerah Kuala Kangsar.

Saya tidak berfikir panjang, lantas bersetuju menerima pelawaan tersebut. Alhamdulillah, bengkel telah dapat dilaksanakan dengan jayanya, dan pameran masih berlangsung, serta mendapat sambutan yang baik.

Pameran anjuran bersama Perpustakaan Awam Kuala Kangsar dan Bendang Kering Art Studio dibuka secara percuma kepada pengunjung pada setiap hari dari hari Isnin hingga hari Sabtu (ditutup pada hari Ahad dan cuti umum), bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.30 petang dijangka berakhir pada penghujung September 2023.

Kaligrafi yang berjudul “Alhamdulillah” (Segala Pujian bagi Allah).
Pameran Jawi Jemari Ibrahim Md. Don masih berlangsung di Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar sejak 10 Ogos lalu.
Kaligrafi yang berjudul “Muhammad SAW (Yang Terpuji)” di sebelah kanan, dan “Astaghfirullah al-Azim (Aku Mohon Ampunan kepada Allah Yang Maha Agung)”.
Kaligrafi yang berjudul “Ar-Rahman Ar-Rahim (Allah Maha Pengasih)”, dan “Kun Fayakun (Jadi. Maka Jadilah Sesuatu Itu)”.
Kaligrafi yang bertajuk “An Nuur” (Cahaya).
Ibrahim Mohd. Don (tengah) bersama-sama pengunjung pameran yang juga merupakan pengumpul karya berkenaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.