26 September 2023, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu dipinda bagi memberikan lebih kuasa kepada pihak DBP untuk mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan bahasa Melayu di Malaysia.

Mantan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha semasa pentadbirannya, namun hasrat tersebut tidak sempat dilaksanakan disebabkan peralihan kerajaan.

“Saya berharap agar usaha ini akan diteruskan dan diberi perhatian oleh kerajaan pada hari ini agar bahasa Melayu dapat diperkasakan dan digunakan secara lebih menyeluruh,” katanya semasa berucap merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) 2023, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, SAABM 2023 ini ialah kesinambungan daripada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei 2022 lalu di DBP.

Beliau melihat SAABM 2023 ini sebagai  platform terbaik untuk menaikkan semangat kecintaan kepada bahasa, budaya dan ketamadunan Melayu, seterusnya menyemarakkan semangat perjuangan bahasa Melayu kepada keluarga Malaysia.

Saya difahamkan bahawa simposium pada kali ini dapat menarik pelibatan beberapa orang tokoh pejuang bahasa Melayu dari Malaysia, negara-negara ASEAN dan antarabangsa yang membuktikan penggunaan bahasa Melayu ini sudah melangkaui ruang lingkup Nusantara.

Katanya lagi, papan tanda di Korea Selatan turut menggunakan bahasa Melayu sebagai rujukan kepada pelancong asing, khususnya dari gugusan Nusantara.

Menurut beliau, setelah 66 tahun merdeka, kita masih bergelut untuk memartabatkan bahasa Melayu sehinggakan ada antara pemimpin negara yang berasa canggung dan lekeh untuk menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Simposium yang berlangsung selama dua hari pada 25 September hingga 26 September 2023 di Hotel Le Quadri, UCSI, Kuala Lumpur ini diharapkan akan memperluas penggunaan bahasa Melayu di peringkat negara-negara ASEAN dan antarabangsa.

SAABM 2023 merupakan anjuran Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK), yang selari dengan penubuhan Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Pengajian Melayu dan Ketamadunan) di TGBC, Thailand pada 26 Ogos 2023.

Simposium ini melibatkan satu ucap tama, empat sidang dan satu forum yang turut mendapat kerjasama Pejabat Perdana Menteri Kesembilan, Kumpulan UCSI dan Komuniti Pensyarah ASEAN.

Majlis perasmian SAABM 2023 ini juga disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook, Astro AWANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.