26 September 2023, 22:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Proses penjurian Pertandingan Komik Jawi Secara Konvensional telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Latihan 3, Wisma DBP, Kuala Lumpur, pagi tadi. Sebanyak 17 penyertaan telah diterima untuk dipilih bagi memenangi hadiah yang dipertandingkan.  

Panel hakim Pertandingan Komik Jawi Secara Konvensional ini terdiri daripada Encik Abdul Rani Ahmad (Kartunis Wukong), iaitu Presiden Persatuan Pekomik Malaysia (PEKOMIK), selaku Ketua Juri; Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, iaitu Timbalan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM; Prof. Madya Dr. Nor Azlin Hamidon, iaitu Presiden Persatuan Karyawan Kaligrafi dan Jawi Malaysia; Encik Justin Lai Lye Kim, iaitu artis dan penggiat Kaligrafi Cina dan Jawi; serta Puan Rohayu Ismail@Hassan, iaitu Perancang Bahasa, Bahagian Penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Terdahulu, Pertandingan Komik Jawi Secara Konvensional anjuran DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dengan kerjasama Persatuan Pekomik Malaysia (PEKOMIK) telah diadakan pada 14 Ogos 2023 hingga 13 September 2023 dengan jumlah penyertaan yang amat menggalakkan.

Beberapa syarat untuk Pertandingan Komik Jawi ini seperti penyertaannya terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia 13 tahun ke atas, karya yang dihasilkan mestilah menggunakan kertas berukuran A3 dengan ketebalan tidak kurang daripada 70gsm, tema karya ialah “Bahasa Jiwa Bangsa”, mestilah karya asli bukan penghasilan digital dan dicetak, menggunakan dialog berbahasa Melayu dan bertulisan Jawi dengan pengesahan ejaan perlu merujuk prpm.dbp.gov.my atau Daftar Kata Bahasa Melayu Sebutan Jawi terbitan DBP, mestilah memenuhi prinsip Rukun Negara dan tidak menyentuh isu yang berkaitan dengan raja, agama dan kaum yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian Malaysia.

Peserta juga digalakkan untuk menyediakan transkripsi Rumi secara berasingan agar dapat dibaca serta difahami oleh pelbagai kaum, menggunakan jenis alatan lukis tradisional yang bebas seperti warna pensel, warna air, cat minyak, cat akrilik, krayon, pensel arang dibenarkan kecuali cetakan dan digital.

Peserta juga hendaklah menghasilkan karya komik baharu dan bukan saduran mahupun diguna semula karya sedia ada. Jika didapati bahawa karya peserta bukan asli, maka penyertaan tersebut serta-merta terbatal dan karya tidak layak dinilai.

Keputusan pertandingan akan diumumkan tidak lama lagi.

Antara penyertaan Komik Jawi Konvensional yang diterima dan dalam penjurian panel hakim.
Encik Abdul Rani Ahmad (Kartunis Wukong) sedang memberikan penerangan kepada barisan panel hakim untuk memilih penyertaan yang layak memenangi pertandingan.
Para hakim Pertandingan Komik Jawi Secara Konvensional: dari kiri En. Justin Lai, Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, En. Abdul Rani Ahmad (Kartunis Wukong), Prof. Madya Dr. Nor Azlin Hamidon dan Puan Rohayu Ismail @Hassan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.