Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3) Bidang Editorial merupakan satu program yang berasaskan kemahiran yang bertujuan melahirkan para graduan yang mahir dalam bidang editorial termasuklah penyuntingan dan pembacaan pruf yang dilaksanakan bagi tujuan memperkaya bahasa kebangsaan dalam bidang penerbitan.
Demikian antara inti pati ucapan perasmian oleh YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3) Bidang Editorial Kali Ke-2, anjuran Akademi DBP yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, Kuala Lumpur pada pagi tadi.
Pelaksanaan program ini juga adalah untuk melahirkan para graduan yang berdaya saing dalam industri pekerjaan dan mempunyai peluang yang tinggi dalam bidang pekerjaan, melahirkan pelajar yang kompetensi dalam bidang penerbitan khususnya dalam kerja penyuntingan, pembacaan pruf dan sebagainya.
Tambahnya lagi, majlis seumpama ini bukan sahaja untuk meraikan pelajar yang tamat pengajian dalam bidang editorial, tetapi merupakan majlis meraikan ilmu selepas melalui proses pembelajaran yang mengambil masa yang panjang, yang memerlukan perancangan yang rapi dan sokongan padu pelbagai pihak serta memerlukan pematuhan prosedur yang ketat daripada Kementerian Sumber Manusia.
Majlis yang dihadiri oleh tetamu kehormat, pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian, tetamu undangan serta karyawan DBP menyaksikan sebanyak empat orang graduan berjaya menamatkan pengajian mereka pada 30 Ogos 2022 untuk menerima Sijil Kemahiran Bidang Editorial masing-masing. Penerima sijil berkenaan terdiri daripada Puan Nor Shuhada Abdul Ghani, Puan Nashimah Basri, Puan Azlinda Husin dan Puan Thanusya a/p Shanmuganathan.
Sementara itu, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP dalam ucapan alu-aluannya pula berkata bahawa menjadi harapannya untuk memperkasakan Akademi DBP, khususnya hingga ke peringkat antarabangsa yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau turut berterima kasih atas sokongan dan komitmen padu oleh para pegawai daripada tenaga pengajar Akademi DBP, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran (CIAST), serta Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK).
Tambahnya lagi,
Sebuah naskhah yang baik ditukangi oleh editor yang baik.
Program SKM 3 ini merupakan latihan sepenuh masa yang berlangsung selama 13 bulan dan diadakan secara bersemuka. Sesi pembelajaran pula diadakan selama lapan jam sehari yang terdiri daripada dua jam kelas teori dan enam jam kelas amali.
Terdapat empat sijil yang ditawarkan dalam SKM 3, iaitu Sijil Pembacaan Pruf, Sijil Pengendalian Dokumen Prapenerbitan, Sijil Pengendalian Dokumen Penerbitan dan Sijil Pengendalian Dokumen Pascapenerbitan.
Selain itu, pelajar juga diwajibkan mempelajari subjek Keupayaan Teras (Core Abilities) dari Tahap Satu hingga Tahap Tiga. Keterampilan pelajar pula dinilai berdasarkan Penilaian Kerja Kursus (70%) dan Penilaian Akhir (30%) yang meliputi Penilaian Pengetahuan dan Penilaian Prestasi.