27 September 2023, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurUniversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai juara Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara dengan mengalahkan pasukan pendebat dari Universiti Teknologi MARA, dengan usul “Dewan ini mengakui bahawa pembangunan negara mencerminkan kesepaduan sosial” di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, semalam.

Seramai 151 pembahas dengan pelibatan 38 pasukan menyertai pertandingan ini berjaya menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi. Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2023 yang mengangkat tema “Warisan Melestarikan Perpaduan” berjaya membuka ruang dan peluang dalam meneroka idea serta hujah yang telah dilontarkan oleh mahasiswa yang dilihat mampu membantu usaha melestarikan dan memperkasakan perpaduan negara.

Dalam Majlis Perasmian Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2023 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, semalam, YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berharap agar program ini dapat mencapai matlamat untuk membina tapak integrasi di varsiti, dan mengukuhkan penyatupaduan mahasiswa dan masyarakat berbilang bangsa yang seiring dengan konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Beliau juga menyeru agar mahasiswa memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang maju, terampil dan terangkum serta saling bertoleransi sebagai ejen penyatuan dan penyebar perpaduan negara.

 

Pusingan akhir Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2023.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof (Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara), YBrs. Profesor Dr. Sabri Musa (Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya), YBhg. Dato’ Haji Che Roslan Che Daud (Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atau JPNIN), dan YBrs. Dr. Hazami Jahari (Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka).

Barisan pemenang Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2023.

Debat perpaduan ini dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui JPNIN dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Sekretariat Rukun Negara, Universiti Malaya, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertandingan ini telah bermula pada 22 September 2023 hingga 24 September 2023 (secara dalam talian) dan 26 September 2023 (secara fizikal) dengan penyertaan daripada mahasiswa institut pengajian tinggi.

 

YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP menerima sijil penghargaan daripada Menteri Perpaduan Negara.

Untuk rekod, debat ini bermula dari tahun 2005 hingga tahun 2015 dan ditangguhkan pada tahun yang berikutnya atas kekangan tertentu. Pertandingan ini kemudiannya disambung semula pada tahun 2020 dan kini menjadi program KPN di bawah flagship Kembara Perpaduan. Pelaksanaannya juga merupakan inisiatif dalam mempromosikan program yang berkaitan dengan Sekretariat Rukun Negara (SRN) sebagai satu daripada jentera utama perpaduan.

Antara tetamu yang hadir dalam Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.