1 Oktober 2023, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2023 anjuran Kelab Pidato Perdana Antarabangsa (KEPENTAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diadakan di beberapa lokasi di Wisma DBP, Kuala Lumpur semalam berjaya mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu pada peringkat serantau.

Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan pidato ini menyaksikan penyertaan daripada 36 orang peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand, yang menyampaikan ucapan masing-masing dalam bahasa Melayu.

Mewakili Ketua Pengarah DBP, dalam ucapannya semasa Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2023, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Razali Che Mat menegaskan bahawa pidato menjadi wahana dalam usaha mencari idea terbaik dalam kalangan individu yang berkebolehan melalui bidang pengucapan awam.

Tambah beliau,

Wahana ini bukanlah sebuah retorik tetapi merupakan pendekatan yang berkesan ke arah matlamat ini.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Razali Che Mat (empat dari kiri) bersama-sama hadirin semasa Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2023.

Beliau sempat merakamkan ucapan tahniah dan melahirkan penghormatannya terhadap kesungguhan Puan Sandy Tan, selaku Presiden KEPENTAS ketika menyampaikan pidato dan ucapannya dalam bahasa Melayu yang diselitkan dengan peribahasa serta pantun.

Usaha KEPENTAS yang mempelbagaikan lagi penyertaan pertandingan kepada pelbagai kaum dan tidak tertumpu kepada satu-satu kelompok sahaja adalah seiring dengan slogan “Berubah untuk Terus Melangkah” yang bersempena dengan Ulang Tahun ke-14 KEPENTAS.

Pertandingan pidato pada kali ini diadakan dengan tema pertandingan “Apa-apa Sahaja yang Memberikan Manfaat kepada Manusia” dan mengambil konsep persembahan TED Talk, iaitu sebuah program bual bicara popular antarabangsa.

Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2023 anjuran Kelab Pidato Perdana Antarabangsa (KEPENTAS) dengan kerjasama DBP.

Sebanyak 12 orang peserta berjaya melayakkan diri ke Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2023 yang diadakan pada sebelah petang semalam di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir di Wisma DBP.

Yang berikut ialah senarai penerima hadiah utama Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2023:

  • Johan – Mohd Amirul Haziq Anuar (KEPENTAS Pusat Bandaraya)
  • Tempat Kedua – Saiful Ikram Selamat (KEPENTAS Putrajaya)
  • Tempat Ketiga – Mohd Amirul Hamdan (KEPENTAS Ipoh)
  • Tempat Keempat – Hatta Yunus @ Sawabi (KEPENTAS Sandakan)
  • Tempat Kelima – Saidah Opin (KEPENTAS K. Kinabalu)

           

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.