2 Oktober 2023, 19:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Muhammad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu dan Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023 yang diadakan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pada tahun ini, Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2023 menjadi milik YBhg. Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2023 pula diraih oleh YBrs. Dr. Norashady Mohd Noor dari Politeknik Sultan Azlan Shah. Sementara itu, Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2023 pula dirangkul oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian ketika perasmian Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu dan Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023.

Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu KPT ini merupakan acara tahunan berprestij yang diadakan sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik dalam pelbagai disiplin ilmu, sama ada pada peringkat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), kolej komuniti, dan politeknik.

Menurut YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, penganugerahan ATABM sejak tahun 2012 menyaksikan sebanyak sembilan orang ahli akademik dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu.

Saya difahamkan, hingga hari ini, sebanyak sembilan orang ahli akademik telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Tokoh-tokoh ini terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang kepakaran, termasuklah bidang linguistik, kejuruteraan, perubatan, pendidikan awal kanak-kanak, kesusasteraan, ekonomi, dan aeronautik.

YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Ahli Jawatankuasa Teknikal ATABM 2023, YBrs. Tuan Haji Johari Md. Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP.
Dari kiri: YBrs. Dr. Norashady Mohd Noor, YBhg. Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof dan YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri.
YBhg. Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof (dua dari kanan) membawa pulang hadiah wang tunai RM30 000.00, berserta piala iringan dan sijil penganugerahan.

Menyorot sedikit latar belakang pemenang utama ATABM 2023, YBhg. Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof merupakan pakar dalam pengajian Islam, akidah dan pemikiran. Antara pengkhususan beliau termasuklah pemikiran akidah Islam seperti mengkaji ajaran sesat di tanah air.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, beliau komited untuk terus berusaha meningkatkan jumlah penerbitan dan penulisan dalam bahasa Melayu, menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan membantu para pensyarah muda untuk menulis lebih banyak buku dalam bahasa Melayu.

Saya akan membantu pensyarah muda untuk menulis lebih banyak buku dalam bahasa Melayu kerana kita kekurangan pensyarah muda yang hendak menulis. Seterusnya, saya akan mengadakan bengkel bersama-sama pihak DBP, dan begitu juga Penerbit UTM yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk bersama dengan pensyarah muda untuk menghasilkan atau menulis buku-buku untuk diterbitkan.

Ujar beliau lagi,

Pada peringkat kebangsaan, para pemimpin juga perlu mengetengahkan bahasa Melayu, tidak kira daripada apa-apa parti sekalipun sama ada di Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga perlu berbahasa Melayu yang baik sebagai contoh kepada generasi yang akan datang.

YBrs. Dr. Norashady Mohd Noor membawa pulang wang tunai RM5000.00, berserta piala iringan dan sijil penganugerahan.

Sementara itu, Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2023, iaitu YBrs. Dr. Norashady Mohd Noor pula merupakan ahli akademik yang menyumbang kepakarannya dalam disiplin ilmu psikometrik kepada pembangunan dunia pendidikan, terutamanya di IPTA dan institusi pendidikan tinggi swasta.

Beliau telah memartabatkan bahasa Melayu sebagai medium pilihan untuk pengembangan dan perkongsian ilmu walaupun bidang ini banyak diterokai dalam bahasa asing. Hasil kajian beliau dalam bidang ini berjaya dibentangkan dan diterbitkan pada peringkat kebangsaan, sekali gus terpilih untuk dibentangkan dalam seminar pada peringkat antarabangsa di Universiti Melbourne, Australia.

Menurut beliau, walaupun bidang teknikal banyak menggunakan istilah yang bersifat bombastik, beliau lebih tertarik untuk menggunakan bahasa Melayu semasa mengadakan sesi perkongsian atau webinar dengan para pelajarnya kerana bahasa Melayu lebih mudah difahami.

YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri membawa pulang wang tunai RM5000.00, berserta piala iringan dan sijil penganugerahan.

Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2023, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri pula merupakan pakar Sains Bioperubatan yang turut menyumbang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Karya yang dihasilkannya turut mendapat tempat di Perpustakaan British-London dan di Perpustakaan Universiti Sorbonne-Paris. Sumbangan terbesar beliau ialah mentransliterasikan kitab induk perubatan tradisi Melayu. Antaranya termasuklah Kitab Tayib al-Ihsan fi Tibb al-Insan, dan Kitab Rumah Ubat di Pulau Penyengat.

Menurut beliau, sesi penganugerahan dalam majlis yang berlangsung pada hari ini dapat menyuntik semangat dalam kalangan ahli akademik untuk melaksanakan lebih banyak kajian dalam bahasa Melayu.

Tambah beliau,

Kajian-kajian yang berteraskan bahasa Melayu juga perlu dipertingkat melalui pemberian dana khusus untuk kajian sains yang berteraskan Alam Melayu.

Antara tetamu yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP), YBrs. Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP), YBrs. Puan Fazidah Mustafa (Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, KPT), YBrs. Prof. Madya Dr. Sabzali Musa Kahn (Dekan Akademi Pengajian Melayu yang mewakili Naib Canselor Universiti Malaya) dan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof Haji Othman (Pengerusi Jawatankuasa Teknikal ATABM).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.