Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bahasa Melayu merupakan bahasa yang penting di Asia Tenggara pada suatu masa dahulu dan menjadi lingua franca pada abad ke-16 sebagai bahasa pertuturan awam di pasar oleh para pedagang.
Sehubungan dengan itu, menurut YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dari Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu pada abad ini, peranan pemerintah sangat penting khususnya dalam penggunaan bahasa Melayu melalui penulisan draf dokumen atau dasar kerajaan.
Sistem ejaan juga perlu diambil perhatian yang penting kerana ada keperluan dalam konteks pengantarabangsaan bahasa Melayu supaya tidak timbul kekeliruan dalam sebutan ejaan perkataan. Beliau berkata demikian menerusi tajuk wacana, iaitu “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”.
Dalam program Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023 yang berlangsung pada petang tadi menerusi tajuk tersebut, YBrs. Profesor Madya Dr. Indirawati Zahid dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pula menyatakan pandangannya bahawa semua masyarakat perlu memperkasakan bahasa Melayu dan bukan lagi memartabatkannya. Hal ini penting untuk mengembalikan bahasa Melayu ke arah kegemilangannya.
Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Hairol Anuar Haji Mak Din dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pula, bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan yang boleh menyatupadukan semua golongan masyarakat. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan generasi muda pada hari ini yang sudah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
Sementara itu, industri hiburan juga tidak terkecuali dalam memainkan peranan memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu. Menerusi tajuk wacana, iaitu “Peranan Industri Hiburan dalam Memartabatkan Bahasa Melayu”, YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin dari Universiti Malaya menyatakan bahawa percampuran bahasa dalam pertuturan seharian oleh generasi muda pada hari ini sudah menjadi kebiasaan dalam cara hidup sekarang. Tambahnya lagi, generasi muda perlu meningkatkan lagi penggunaan bahasa Melayu terutamanya di media sosial.
YBrs. Encik Siso Kopratasa (Penggiat Seni) pula menyatakan tentang cabaran dalam penciptaan lagu puisi, iaitu menjaga kualiti puisi tanpa merosakkan bahasa yang indah dalam puisi tersebut. Menurut beliau, penggunaan bahasa “jiwanya” dan sesuatu yang sukar dirasai itu perlu ditonjolkan kerana di situlah terletaknya kekuatan sesebuah lagu puisi.
Ahli panel yang seterusnya, iaitu YBrs. Encik Sabri Yunus (Penggiat Seni) pula berpendapat bahawa dialek juga penting kerana merupakan bahasa ibunda penutur itu sendiri. Penggunaan dialek menurut negeri penutur itu sendiri mempunyai pengaruh yang dekat dengan jiwa dan hati orang-orang di sekelilingnya.
Demikianlah antara inti pati perbincangan yang dikongsi oleh enam orang ahli panel yang dikendalikan oleh YBrs. Tuan Sayed Munawar menerusi Program Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023 yang turut diadakan dalam Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2023 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

