5 Oktober 2023, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang Festival Seni dan Alam (FESA) 2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) yang masuk ke tahun kedua, menjadikan program Riadah Seni sebagai pembuka acara yang diadakan pagi kelmarin.

Riadah Seni yang bermatlamat untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat ini telah disertai oleh hampir 40 orang peserta, termasuklah guru dan pelajar sekolah serta urus setia FESA di sekitar Kundasang.

Program ini yang dipimpin oleh Puan Salvia Rose berlangsung selama 45 minit menggunakan unsur tarian dalam senaman untuk menarik minat para peserta yang menyertainya. Selain itu, lagu-lagu Melayu asli turut diperdengarkan yang menemani aktiviti ini sebagai satu keunikan dan kelainan Riadah Seni di Festival Seni dan Alam.

Riadah Seni ini juga menjadi satu daripada aktiviti yang dapat mempereratkan hubungan antara DBCS dengan masyarakat sekitar, di samping memperkenalkan DBP sebagai satu badan yang berperanan untuk memartabatkan bahasa Melayu melalui kepelbagaian aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan.

Dengan bertemakan “Alam Dilestari, Seni Dijiwai”, festival ini melibatkan masyarakat di sekitar Kundasang, termasuklah penduduk, peniaga dan para pelajar daripada beberapa buah sekolah yang berlangsung selama empat hari, iaitu bermula pada 4 Oktober 2023.

Festival Seni dan Alam turut diadakan bersempena dengan Hari Alam Sekitar Negara dan Bulan Bahasa Kebangsaan untuk menggalakkan masyarakat memelihara dan memulihara alam sekitar di samping menitikberatkan elemen bahasa dan kesusasteraan melalui kesenian.

Puan Salvia Rose bersama-sama kumpulan memimpin aktiviti senam dalam program Riadah Seni.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.