5 Oktober 2023, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marudi – Penerbitan buku Daftar Kata Bahasa MelayuBahasa Narum merupakan  satu daripada hasil penyelidikan daftar kata bahasa sukuan Sarawak yang dilaksanakan sejak tahun 2018. Usaha ini merupakan kesinambungan daripada projek pengumpulan entri bahasa sukuan Sarawak.

Sehubungan dengan itu, buku Daftar Kata Bahasa MelayuBahasa Narum dilancarkan baru-baru ini oleh YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.

Majlis pelancaran buku ini diadakan bersempena dengan Perasmian Baram Regatta 2023, yang bertempat di Dataran Marudi, Miri. Yang turut hadir dalam majlis ini ialah YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan beberapa orang pegawai dari DBP Kuala Lumpur dan DBP Cawangan Sarawak.

Penerbitan buku ini merupakan langkah awal DBP Cawangan Sarawak untuk memelihara bahasa sukuan di Sarawak agar terus terpelihara dan tidak pupus ditelan zaman.

Usaha penyelidikan dan pembinaan daftar kata bahasa Narum telah dilaksanakan sejak tahun 2018. Akhirnya, buku setebal 194 halaman dengan kandungan sebanyak 2913 entri dan subentri ini berjaya diterbitkan. Buku Daftar Kata Bahasa MelayuBahasa Narum kini berada di pasaran dan dijual dengan harga RM25.00 senaskhah.

Penerbitan buku daftar kata seperti ini merupakan wahana dan wadah untuk merakamkan perkembangan bahasa dan budaya. Peranannya sangat penting dalam mendokumentasikan bahasa yang terancam kepupusannya.

Usaha pendokumentasian ini juga diharapkan mampu memugarkan semula dan melestarikan bahasa sukuan yang jarang-jarang digunakan dalam pertuturan harian dalam kalangan generasi muda seperti bahasa Narum di Marudi.

Selain itu, penerbitan buku ini juga diharapkan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak, khususnya para penyelidik dan pengguna bahasa Melayu dan bahasa Narum di Sarawak, khasnya dan di negara kita, amnya.

Simbolik pelancaran buku disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, dengan menandatangani replika buku Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Narum, yang disaksikan oleh YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari dan tetamu yang lain.
YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari bersama-sama tetamu kehormat yang lain merakamkan kenangan dengan buku yang dilancarkan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.