Oleh Aminnudin Saimon
5 Oktober 2023, 22:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gua Musang  ̶  Program yang dianjurkan oleh Wikimedia Malaysia di Kampung Orang Asli Kuala Lah, Gua Musang, Kelantan, yang berlangsung pada 3 Oktober 2023 hingga 5 Oktober 2023 merupakan usaha untuk melestarikan bahasa suku kaum Mendriq yang harus diteruskan agar bahasa ini tidak pupus.

Menurut Fazal Mohamed, yang juga pakar rujuk bagi Wikimedia Malaysia, bahasa Mendriq berkemungkinan akan pupus jika tidak diangkat ke satu peringkat yang lebih terjamin kedudukannya.

Matlamat program ini juga untuk mendokumentasikan bahasa suku kaum Mendriq ke dalam bentuk digital agar bahasa Mendriq ini dapat diketahui oleh masyarakat seantero dunia.

Justeru, usaha Wikimedia Malaysia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan UNESCO dilihat menjadi satu platform yang tepat untuk melestarikan dan mengekalkan bahasa Mendriq pada masa akan datang.

Program ini turut disertai oleh pensyarah dan pelajar dari Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan (KLM Kampus Pagoh, Johor), RCE dan COMRADE, UIAM, Gombak.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan bahasa Mendriq semakin diancam kepupusan. Menurut Ali Lateh, yang juga Tok Batin suku kaum Mendriq Kuala Lah, satu daripada faktornya ialah perkahwinan campur, migrasi, dan pekerjaan.

Keaslian dan jati diri suku kaum Mendriq juga dilihat semakin luntur disebabkan oleh arus pemodenan. Hanyak (rumah) asli yang dibina menggunakan hasil hutan semakin berkurang dan pakaian tradisional juga semakin mengalami nasib yang sama.

Justeru, usaha untuk mengekalkan bahasa dan budaya suku kaum Mendriq perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuklah Jabatan Kemajuan Orang Asli atau JAKOA, kerajaan negeri dan pusat, pertubuhan bukan kerajaan, penyelidik dan orang tempatan agar bahasa ini dapat dipelihara daripada mengalami kepupusan.

Pakar rujuk, Prof. Madya Dr. Fazal Mohamed (tengah) bersama-sama penyelidik dari KLM, UIAM, Pagoh, Johor.
Proses penyuntingan dan daftar kata ke dalam wikipedia bersama-sama penduduk kampung Orang Asli.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.