Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabuan – Pada 1 Oktober 2023 hingga 4 Oktober 2023, berlangsungnya Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan. Pusingan akhir pertandingan ini menyaksikan SM Sains Batu Pahat, Johor berentap dengan SMK Jitra, Kedah, dengan usul yang dibahaskan, iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”. Bertindak sebagai pembangkang, SM Sains Batu Pahat dilihat mampu memberikan hujah yang bernas berserta bukti kes yang tepat. Hal ini membuatkan usul pada hari tersebut ditolak.
Setiap negeri menghantar penyertaan masing-masing dan perlu melalui tiga pusingan awal dengan tajuk usul yang berbeza. Hal ini semestinya memberikan banyak cabaran kepada setiap peserta untuk bersedia dari segi mental dan fizikal. Para peserta diadili oleh hakim yang berwibawa dari seluruh Malaysia.
Program ini anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan objektif utamanya untuk melatih pelajar agar berkemahiran dalam mengutarakan hujah secara bernas dan teratur, di samping melahirkan pelajar yang bakal menjadi pemimpin yang mempunyai kemahiran berhujah secara spontan, namun bersopan.
Majlis perasmian penutupan pada hari tersebut disempurnakan oleh YBrs. Encik Ithnin Mahadi, iaitu Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan dan Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, yang menyaksikan Khairina dari SMK Jitra, Kedah, dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik dalam pertandingan akhir tersebut.