Oleh Nazrul Aziz
6 Oktober 2023, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  ̶  Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya INTAN Tahun 2023 berjaya dilaksanakan dengan meriah bersempena dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan 2023, di Auditorium INTAN Bukit Kiara, semalam.

Sebanyak enam Kampus INTAN telah bergabung yang bermula pada bulan Mei 2023 untuk menjayakan program di bawah Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya, iaitu INTAN Bukit Kiara, IKWAS, INTIM, INTURA, INTAN Sabah dan INTAN SARAWAK.

Misi Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya ini adalah untuk memangkin kecemerlangan budaya kerja unggul dan pemartabatan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.

Selain itu, objektif utama karnival ini pula bertujuan untuk memugarkan amalan protokol dan pengurusan majlis kerajaan, memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan menyeragamkan serta mempromosikan kursus protokol dan pengurusan majlis antara INTAN Kampus Utama dengan INTAN Kampus Wilayah.

YBhg. Datuk Azhar Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), yang mewakili YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya Tahun 2023 yang dihadiri oleh warga kerja INTAN.

Aktiviti utama dalam karnival ini terdiri daripada penganjuran seminar, webinar, pameran, program pidato dan lain-lain yang menonjolkan tema protokol, budaya dan bahasa dalam perkhidmatan awam merentasi INTAN Bukit Kiara, serta lima kampus wilayah, iaitu IKWAS, INTURA, INTIM, INSABAH dan INSARA.

Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang karnival ini berlangsung termasuklah seminar bahasa dengan tema “Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Kalangan Penjawat Awam (INSABAH)”, Seminar Indah Bahasa Budaya (INSARA), Seminar Memperkasakan Citra Bahasa Melayu (INTIM), Simposium Protokol Zon Selatan (IKWAS), Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (INTAN), dan beberapa lagi program yang berkaitan dengan bahasa, budi dan budaya.

Majlis perasmian penutupan pula diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh YBhg. Datuk Azhar Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) kepada para pemenang Pertandingan Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2023. Yang turut hadir ke majlis ini ialah YBhg. Datuk Dr. Alauddin Sidai, iaitu Pengarah Institut Tadbiran Negara (INTAN).

YBhg. Datuk Azhar Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) berucap semasa majils penutupan Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya.
YBhg. Datuk Azhar Ahmad (tengah) melancarkan gimik perasmian penutupan Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.