8 Oktober 2023, 18:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Mohamad Adib Zulkifli

Tumpat – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited untuk terus memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir dan disisihkan dalam usaha menjadikan bahasa dan sastera Melayu sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Demikian ujar Pengarah Bahagian Sektor Pengurusan Sekolah, KPM, YBrs. Tuan Haji Abdul Muie Ngah dalam ucapan perasmian program Apresiasi Bahasa dan Sastera di Sekolah Kebangsaan Kampong Laut, yang mewakili Menteri Pendidikan Malaysia. Katanya lagi,

Pelbagai aktiviti dan pertandingan yang berbentuk ilmiah dan didik hibur dilaksanakan melalui program ini. Aktiviti tersebut adalah untuk pengukuhan pendidikan manusiawi bagi meningkatkan potensi murid melalui pendidikan karakter dalam pembinaan jati diri dan sahsiah murid.

Pengarah Bahagian Sektor Pengurusan Sekolah, KPM, YBrs. Tuan Haji Abdul Muie Ngah berucap merasmikan program Apresiasi Bahasa dan Sastera.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluan pula berkata,

DBP akan terus menyokong teras KPM dengan memberikan penekanan terhadap aspek karamah insaniah, iaitu pembentukan karakter, adab, akhlak, disiplin dan integriti murid, khususnya melalui penganjuran program seperti ini.

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Program Apresiasi Bahasa dan Sastera ini diadakan dengan pelibatan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum, dan etnik dalam usaha menjadikan bahasa dan sastera sebagai wahana yang menyatupadukan masyarakat di negara ini.

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Haji Mohd Zamri Abdul Aziz (Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan), YBrs. Tuan Haji Rusydee Haji Abdullah (Ketua Jajahan Tumpat), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), dan YBrs. Encik Ruslan Mohamad (Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampong Laut).

Aksi seorang daripada peserta Pertandingan Bercerita dalam program Apresiasi Bahasa dan Sastera di Sekolah Kebangsaan Kampong Laut.

Sebanyak tujuh kegiatan telah diadakan untuk menyemarakkan program Apresiasi Bahasa dan Sastera, iaitu Pertandingan Mewarna, Pertandingan Bercerita, Aktiviti Didik Hibur, Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi, Pertandingan Pidato, Pertandingan Eksplorasi Bahasa, pameran dan jualan buku.

Selain itu, sesi penyampaian sumbangan buku terbitan DBP oleh DBP kepada Sekolah Kebangsaan Kampong Laut turut diadakan.

Program Apresiasi Bahasa dan Sastera ini melibatkan 1000 orang khalayak yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bertujuan untuk menyemarakkan kegiatan kesusasteraan dan kebudayaan di samping menarik minat anak muda untuk hadir dan menyokong program kebahasaan.

Para peserta Pertandingan Pidato dalam program Apresiasi Bahasa dan Sastera bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.