11 Oktober 2023, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023 telah diadakan dengan jayanya pagi semalam di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Pelaksanaan majlis ini menandakan berakhirnya semua program kebahasaan dan aktiviti bahasa kebangsaan yang melibatkan semua warga kerja di bahagian dan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tahun 2023.

Dekad Bahasa Kebangsaan merupakan satu langkah proaktif KPM dalam menjenamakan semula Bulan Bahasa Kebangsaan. Pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan telah dilaksanakan di seluruh negara khususnya dalam sektor pendidikan yang terdiri daripada KPM, MARA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), bagi memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Program tahunan ini juga bertujuan untuk menunjukkan komitmen berterusan KPM dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap program yang dilaksanakan selain menekankan kepentingan membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul agar keindahan bahasa kebangsaan terus terpamer.

Sambutan ini turut mempamerkan komitmen Pengurusan Tertinggi KPM, khasnya dan warga KPM, umumnya dalam usaha untuk terus menjunjung, mendaulatkan serta mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dari segala aspek pentadbiran dan pengurusan di samping menanamkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan negara.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan, Pertandingan Pengucapan Awam Peringkat KPM, Forum Bahasa Melayu Sektor Pendidikan, Bengkel Pemerkasaan Tulisan Jawi Peringkat KPM dan pelbagai aktiviti lain pada peringkat bahagian dan agensi.

Dalam majlis itu juga, YB Fadhlina Sidek telah menyampaikan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kategori Teknik Vokasional, yang telah dinobatkan kepada YBrs. Ts. Dr. Siva a/l Rabindarang, iaitu Ketua Jabatan Teknologi Awam, Kolej Vokasional Slim River, Perak.

Penyampaian Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kategori Teknik Vokasional kepada YBrs. Ts. Dr. Siva a/l Rabindarang oleh YB Fadhlina Sidek.
YB Fadhlina Sidek dan tetamu kenamaan lain serta hadirin yang hadir bergambar kenangan dalam Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.