Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Muhammad Adib Zulkifli
Kuala Lumpur – Sejajar dengan tanggungjawab besar yang digalas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu, maka sewajarnyalah untuk usaha memartabatkan bahasa Melayu diperkasakan dengan peruntukan yang besar menerusi Belanjawan 2024.
Harapan tersebut disuarakan supaya peruntukan itu ditingkatkan jumlahnya untuk tahun 2024 dalam usaha memartabatkan serta memperkasakan bahasa Melayu agar dapat diperkuat dan diperkukuh selaras dengan keperluan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi.
Beberapa perkara penting yang berkaitan dengan usaha ke arah pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu ini telah diadakan dalam satu perbincangan dan mencapai persetujuan bersama dalam satu pertemuan di Sidang Media: Pemartabatan dan Pemerkasaan Bahasa Melayu di Balai Seminar Tun Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP pada petang tadi.
Perbincangan tersebut yang dihadiri oleh wakil DBP (selaku tuan rumah), Persatuan Gabungan Penulis NAsional (GAPENA), Persatuan Penterjemah Malaysia, Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat, Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia, Majlis Perundingan Melayu, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Persatuan Penulis Johor, Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia, Teater Malaysia, pakar dan pejuang bahasa telah membincangkan beberapa perkara yang dipersetujui untuk memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.
Antara inti pati perbincangan yang dipersetujui bersama termasuklah DBP perlu diberi peruntukan tambahan untuk memperbanyak kepustakaan dalam bahasa Melayu untuk memperkasakan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana peruntukan yang lebih besar kepada usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlu untuk merangsang program penyelidikan serta pembangunan yang meliputi pelaksanaan pelbagai program kebahasaan termasuklah penerbitan kepustakaan serta pembangunan teknologi digital bahasa Melayu.
Selain itu, peruntukan ini juga perlu bagi memperbanyak kegiatan dan program kebahasaan serta inisiatif untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah termasuklah di sekolah rendah dan di sekolah menengah.
Beberapa usaha juga perlu dilakukan bersama untuk membangunkan bahasa kebangsaan ke arah memperkasakannya sebagai bahasa negara. Seterusnya, penggunaan bahasa Inggeris perlu dipertingkat penguasaannya dalam kalangan pelajar sekolah sebagai bahasa kedua memandangkan penguasaan bahasa Inggeris masih lemah terutamanya dalam kalangan pelajar Melayu.
Terdahulu, DBP merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas keprihatinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang telah meluluskan sejumlah peruntukan kepada DBP menerusi Belanjawan 2023.