12 Oktober 2023, 19:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Ipoh Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu (A) menjuarai Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan 2023 Kali ke-13 dengan menewaskan 30 pasukan pada pusingan akhir di IPG Kampus Ipoh, pada hari ini.

Pertandingan forum yang bermula 25 September hingga 12 Oktober 2023 ini merupakan program kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan IPG Kampus Ipoh dan kerajaan negeri Perak.

Dengan tema forum, “Bahasa Melayu Pemacu Masyarakat MADANI,” IPG Kampus Bahasa Melayu (A) membawa pulang wang tunai, piala pusingan, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP. Tempat kedua pula dimenangi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, manakala tempat ketiga disandang oleh IPG Kampus Dato’ Razali Ismail (B).

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Tuan Khairudin Haji Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Yang turut hadir ialah YBrs. Dr. Yusminah Mohd Yusof, Pengarah IPG Kampus Ipoh dan YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP.

“Program ini merupakan satu pendekatan ilmiah untuk memastikan tiada lagi warganegara Malaysia kurang fasih berbahasa Melayu. Mahasiswa juga memainkan peranan yang penting sebagai nadi penggerak kepada pemartabatan bahasa Melayu,” ujar YB Tuan Khairudin.

Majlis perasmian pembukaan Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan pula telah disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Azlan Helmi Helmi, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), yang mewakili Menteri Besar Perak pada 11 Oktober 2023 di IPG Kampus Ipoh. Yang turut hadir pada majlis perasmian pembukaan tersebut ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP.

Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan ini berobjektif untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi yang berkesan di samping sebagai medium dalam melahirkan mahasiswa yang kompeten dan memiliki kemahiran pada abad ke-21.

YB Tuan Khairudin Haji Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan. semasa merasmikan majlis penutupan program.
Para pemenang bergambar kenangan.
Para pemenang dan tetamu kehormat serta hadirin yang hadir bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.