Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan, Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Pidato Piala Pengarah IPG Kampus Pendidikan Islam, di Dewan Besar Nik Mohd Mohyideen Musa, IPGKPI, pagi semalam.
Antara objektif penganjuran pertandingan pidato ini termasuklah untuk memberikan kesedaran kepada kanak-kanak tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan, memperluas dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu, serta mencungkil bakat baharu dalam bidang pidato kategori pelajar sekolah rendah. Pertandingan seumpama ini amat penting diadakan bagi melahirkan generasi yang berhemah dan petah ketika berucap di khalayak ramai dengan menggunakan bahasa Melayu secara fasih, formal dan lancar.
Johan diungguli oleh Chiah Wei Yuan dari SJKC Tshing Nian Klang, yang menggondol hadiah wang tunai RM500.00 dengan menewaskan 87 peserta yang lain. Naib johan pula disandang oleh Muhammad Nazhireen Naim Khairil Izwan dari SK Sentul 1, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM350.00. Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Anaqi Thaqif Faizul dari SK Taman Scientex, yang membawa pulang wang tunai RM200.00. Selain memenangi hadiah wang tunai, kesemua pemenang turut membawa pulang sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Abdul Rahman Abdullah, Pengarah IPGKPI. Dalam ucapannya, beliau menyatakan keyakinannya bahawa pertandingan pidato ini berupaya melahirkan bakat baharu dengan daya diri, daya saing dan daya sahsiah yang tinggi dan bermutu yang cakna dengan isu semasa.
Menerusi pertandingan pidato ini juga beliau berharap agar bakat yang dimiliki oleh para pemenang akan dapat diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi.
Bahasa Melayu merupakan wahana perpaduan yang paling rasional, ampuh dan signifikan untuk sebuah masyarakat khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Pertandingan ini juga mampu membantu mengecilkan jurang perpaduan dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin bergolak kerana kepelbagaian ideologi, pandangan dan kurangnya kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara.
Yang turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah Pidato Piala Pengarah IPG Kampus Pendidikan Islam ialah YBrs. Encik Rahimi Arifin (Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP), YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry (Pengarah DBP Wilayah Tengah) dan YBrs. Puan Yasmin Kamarudin (Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor).

