13 Oktober 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Durian Tunggal – “Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan wajar diadakan pada setiap tahun kerana berjaya meningkatkan kesedaran generasi muda serta berjaya menjadi bahasa perpaduan yang menyatukan semua kaum di negara ini.”

Demikian menurut YB Datuk Rahmad Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Penutupan Rasmi Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2023, yang berlangsung semalam di Pusat Pembelajaran Bahasa, Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM).

Hal ini dibuktikan dengan penganjuran Pertandingan Koir Sekolah Rendah Peringkat Negeri Melaka yang sertai oleh murid pelbagai kaum yang disatukan melalui medium hiburan. Mereka gembira memakai pelbagai jenis pakaian tradisional dan menyanyikan lagu menggunakan bahasa kebangsaan yang menyatukan mereka dalam satu kumpulan serta bekerjasama untuk bergelar juara.

Tambah beliau lagi,

Bahasa Melayu juga mempunyai nilai ekonomi yang berupaya menjanakan pendapatan melalui penyertaan Pertandingan Lagu Puisi yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM6500.00. Penganjuran aktiviti bahasa dan kesusasteraan melalui medium hiburan berjaya melahirkan generasi berketerampilan dalam berbahasa, di samping memberikan ruang dan peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk sama-sama bersatu padu dan mengeratkan silaturahim serta mempamerkan tahap penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam pelbagai aktiviti yang disertai.

Sementara itu, YBrs. Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang mewakili Ketua Pengarah DBP dalam ucapan alu-aluannya juga menyatakan bahawa DBP berharap Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Melaka akan memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai agen perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, sejajar dengan falsafah DBP sejak tahun 1956.

Menurut beliau,

Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka pada kali ini. Semoga karnival ini mampu menyedarkan kita bahawa bahasa berpotensi untuk berperanan sebagai tonggak penting perpaduan rakyat serta mampu membentuk jati diri bangsa Malaysia mengikut acuan kita tersendiri.

Karnival selama dua hari yang bermula pada 11 Oktober 2023 hingga 12 Oktober 2023 dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama UTeM, Institut Tun Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka ini telah membawa beberapa acara yang menarik perhatian orang ramai termasuklah penganjuran Kem Penulis Muda Melaka: Penulisan Teks dan Kemahiran Pengacaraan, Wacana Pantun, Bicara Inovasi Jawi, Bengkel Terampil Bahasa, Jejak Kembara “Bahasa Jiwa Bangsa”, Pertandingan Lagu Puisi dan Pertandingan Koir Sekolah Rendah Negeri Melaka, serta pelancaran Buletin Cendekia, terbitan Pusat Pembelajaran Bahasa, UTeM.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Zulkiflie Ibrahim (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, UTeM), YBrs. Puan Norlisa Loke Abdullah (Dekan Pusat Pembelajaran Bahasa, UTeM), YBrs. Tuan Haji Mohd Ghazali Ahmad (Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka), YBrs. Encik Mohd Riduwan Wahab (Pengarah DBPWS) dan tetamu kehormat yang lain.

Gimik pelancaran Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Melaka oleh dif-dif kehormat.
YBrs. Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, yang mewakili Ketua Pengarah DBP berucap pada majlis penutupan karnival.
Majlis Penutupan Karnival Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka berlangsung di Dewan Canselori, UTeM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.