14 Oktober 2023, 20:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited akan menjayakan pelaksanaan program merakyatkan sastera kebangsaan bersama-sama rakan strategik persatuan penulis, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan belia dan pihak swasta seperti yang dihasratkan oleh pihak kerajaan Malaysia menerusi pembentangan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat, semalam.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh DBP pada hari ini, DBP menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada kerajaan yang telah menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada agensi yang berpotensi untuk mengetengahkan karya seni dan sastera negara, mempergiat persembahan teater warisan serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia.

Pengumuman YAB Perdana Menteri ini juga menginspirasikan anjakan usaha memperluas kandungan kreatif tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa. Pembinaan penulis serta pengiktirafan karya dan karyawan menjadi indikator penting dalam menyemarakkan kegiatan sastera kebangsaan.

DBP berpandangan bahawa sastera sebagai dunia idea tidak harus terpisah membincangkan tentang hari muka, iaitu tentang arus kemanusiaan dalam arus perdana sains teknologi.

Sastera memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Krisis kemanusiaan yang terjadi daripada kesan sains dan teknologi kepada manusia mendapat perhatian semua.

Sehubungan dengan itu, DBP melihat pengumuman tersebut sebagai langkah yang tepat dalam hala tuju visi Malaysia MADANI, iaitu mencorak masa hadapan dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pascanormal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.