14 Oktober 2023, 23:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuen Cheng 2 berjaya merangkul Anugerah Citra Cemerlang, yang merupakan anugerah utama dalam Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2023, yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Selaras dengan agenda utama negara yang menjadikan elemen bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan yang amat ditekankan dalam sistem pendidikan negara, Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2023 telah diadakan bagi mengetengahkan bakat pelajar SJKC yang secara langsung dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan menerusi karya seni, khususnya melalui teater.

Program secara kerjasama antara Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dengan DBP, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu sebagai wahana bagi menggalakkan persekitaran penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah dan santai, namun sarat dengan nilai murni dan teladan sama ada secara tersurat ataupun tersirat.

Program teater yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016 itu menghendaki setiap kumpulan yang bertanding mengadaptasikan cerita daripada buku Hikayat Jelajah ke Barat, yang merupakan karya agung kesusasteraan China yang begitu tinggi nilainya sekali gus menunjukkan elemen pemupukan bahasa kebangsaan kepada masyarakat yang tidak hanya tertumpu pada aktiviti berbentuk ilmiah semata-mata.

Sebanyak 16 kumpulan saling berentap dalam program teater tersebut untuk merebut anugerah yang ditawarkan, iaitu Anugerah Citra Cemerlang, Anugerah Citra Semarak Seni, Anugerah Citra Harapan, Anugerah Citra Cakna Kreatif, Anugerah Citra Semangat Berpasukan, Anugerah Citra Kasih Juri, Anugerah Citra Pelakon Lelaki Terbaik dan Anugerah Citra Pelakon Perempuan Terbaik.

Persembahan teater oleh SJKC Kuen Cheng 2 yang berjaya merangkul Anugerah Citra Cemerlang dalam Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2023.

“Menerusi teater yang dipersembahkan, penghayatan elemen kebudayaan dan kesenian melalui bahasa kebangsaan diharapkan dapat menjadi faktor penarik kepada generasi muda untuk meningkatkan kecintaan dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan kepada semua pihak, khususnya kepada murid SJKC,” kata Pegawai Tugas-tugas Khas II YAB Perdana Menteri, Encik Mohamad Mahathir Mohamad Younas, yang mewakili YBhg. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2023 berkenaan.

Pegawai Tugas-tugas Khas YAB Perdana Menteri, Encik Mohamad Mahathir Mohamad Younas ketika berucap dalam Majlis Penutupan Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2023.

Menurut beliau, program yang berbentuk silang budaya itu amat penting untuk meningkatkan kefahaman, rasa hormat-menghormati dan saling menghargai antara masyarakat berbilang kaum di negara ini, sekali gus menyumbang kepada perpaduan dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Bagi memastikan khazanah, keindahan bahasa, seni dan budaya serta pengajaran yang dipaparkan menerusi persembahan teater tersebut dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya, hasil daripada pementasan teater itu perlu disebarluaskan melalui pelbagai saluran, terutamanya yang melibatkan media baharu.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru agar sokongan berterusan harus diberi kepada pihak yang menangani program pemupukan bahasa kebangsaan yang melibatkan pelbagai kaum dan etnik bagi memastikan pelaksanaan fungsinya yang amat penting dalam era kerajaan Malaysia MADANI pada masa ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam ucapannya pula menyatakan bahawa program yang penuh dengan mesej bagi menghargai dan memuliakan bahasa kebangsaan itu cukup bermakna dan relevan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan etnik.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan semasa memberikan ucapan alu-aluan.

Pada pandangan beliau, masa hadapan teater di Malaysia cerah kerana adanya program seumpama ini yang dapat melatih dan mendidik kanak-kanak sejak sekolah rendah bagi menghayati dan melakonkan teater, selain terdapat sekolah seni di negara ini dan institut pengajian tinggi yang menyediakan Fakulti Teater.

Teater penting untuk seseorang itu belajar saling bekerjasama dalam kehidupan, memupuk persefahaman antara satu sama lain dan memahami nilai murni yang terdapat dalam teater yang mampu memberikan kesan positif dalam kehidupan yang akan datang serta mengajar diri untuk menghargai waktu.

Seterusnya, Presiden HAN, YBhg. Dato’ Goh Hin San turut menyatakan bahawa selain mencungkil bakat dan kebolehan murid SJKC dalam penguasaan bahasa Melayu, serta seni pementasan, persembahan teater yang dipersembahkan dalam program tersebut juga akan menimbulkan minat murid untuk lebih memahami dan menguasai bahasa kebangsaan di luar kokurikulum.

Pihak kami dengan kerjasama DBP memilih sastera klasik China yang paling terkenal untuk dipentaskan agar sastera China ini dipersembahkan melalui unsur tempatan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sekali gus mendapat perhatian oleh masyarakat China dan tersebar luas di benua China menerusi pelbagai media di negara itu.

Presiden HAN, YBhg. Dato’ Goh Hin San ketika menyampaikan ucapannya.

Tidak ketinggalan, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Encik Mohd Amran Mohd Haris juga menyatakan harapannya agar program teater ini dapat diperkembang di seluruh Malaysia, termasuklah Sabah dan Sarawak.

Dengan adanya semangat yang ditunjukkan oleh para guru, para peserta dan pihak yang berkaitan, saya percaya bahawa program teater ini akan dapat dilaksanakan pada tahun akan datang walaupun menghadapi cabaran dari segi peruntukan.

Ketua Pengarah JKKN, Encik Mohd Amran Mohd Haris.
Pengurus Besar Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, Encik Alex Yong.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan HAN, Encik Alex Yong ketika ditemu bual berkata, idea penganjuran program teater tersebut tercetus apabila Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil telah menganjurkan program seumpama itu pada 10 tahun lalu dan rentetan itu, pihak beliau bersetuju untuk melaksanakan program yang boleh memupuk penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid SJKC dengan kerjasama DBP dan JKNN.

Bagi beliau, program teater itu ialah satu platform untuk membantu murid SJKC berbahasa Melayu dengan cara pembelajaran yang lebih menarik berbanding dengan hanya mempelajari bahasa Melayu secara teori.

Untuk perancangan pada masa hadapan, tarikh pendaftaran penyertaan untuk program teater tersebut akan diawalkan bagi membolehkan lebih banyak penyertaan daripada sekolah di seluruh Malaysia dan berkemungkinan saringan pemilihan akan dilakukan sekiranya jumlah pendaftaran penyertaan terlalu banyak.

Ujar beliau lagi, karya klasik China lain yang belum dipentaskan diharapkan dapat diperkenalkan kepada umum dalam tempoh 10 tahun ini dan penetapan tema tertentu yang lebih menarik akan dilakukan bagi mencungkil bakat murid SJKC.

Selain itu, Encik Vincent Hau Wei, selaku pelatih drama di SJKC Kuen Cheng 2 menyatakan bahawa antara faktor yang mendorong pihak sekolah beliau menyertai program tersebut adalah kerana peluang untuk menyertai program seumpama ini sangat kurang di Malaysia dan sememangnya beliau amat meminati bidang teater.

Guru Penasihat Kumpulan Teater SJKC Kuen Cheng 2, Puan Loi Huei Mee (kiri) dan Pelatih Drama Kumpulan Teater SJKC Kuen Cheng 2, Encik Vincent Hau Wei Chen (kanan).

Menjawab persoalan mengenai tempoh latihan dan cabaran yang dihadapi, beliau mengambil masa selama tiga bulan untuk melatih murid-muridnya sejak pertengahan Julai lalu dan cabaran utama yang dihadapi ialah memastikan murid mematuhi tempo bagi setiap lagu dan kekreatifan dalam menggunakan payung sebagai alatan persembahan.

Bagi saya, program teater ialah medium yang baik untuk murid mempelajari bahasa Melayu dengan lebih baik serta lebih mengingati dan menguasai bahasa Melayu yang betul.

Antara persembahan teater oleh murid SJKC dari pelbagai sekolah dalam Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2023.

Program Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan 2023 diakhiri dengan sesi pengumuman pemenang anugerah secara keseluruhan dan sesi fotografi.

Yang turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua-ketua Bahagian, tetamu undangan, wakil media dan para penaja program teater berkenaan.

KEPUTUSAN PEMENANG ANUGERAH PROGRAM TEATER BAHASA MELAYU SJKC PERINGKAT KEBANGSAAN 2023

KATEGORI ANUGERAH NAMA SEKOLAH HADIAH
Anugerah Citra Cemerlang SJKC Kuen Cheng 2 Wang tunai RM2000, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Anugerah Citra Semarak Seni SJKC Batu 11 Cheras Wang tunai RM2000, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Anugerah Citra Harapan SJKC Union Wang tunai RM2000, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Anugerah Citra Cakna Kreatif SJKC Wan Hwa Wang tunai RM500, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Anugerah Citra Semangat Berpasukan SJKC Masai Wang tunai RM500, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Anugerah Citra Kasih Juri SJKC Pei Hwa Wang tunai RM500, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Anugerah Citra Pelakon Lelaki Terbaik Aung Xi Heng Wang tunai RM300, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Anugerah Citra Pelakon Perempuan Terbaik Lee Chang Yi Wang tunai RM300, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.