15 Oktober 2023, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Taman Molek menganjurkan Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI Sekolah Rendah Negeri Johor pada 14 Oktober 2023 di Dewan SK Taman Molek, Johor.

Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI bukan sahaja mampu meningkatkan daya kreativiti dan inovasi murid dalam proses pembangunan sahsiah dan peribadi murid, malah dapat menyediakan satu ruang interaksi yang berfaedah bagi memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid sekolah rendah di negeri Johor.

Demikian kata-kata YBrs. Encik Mohd Riduwan Wahab, Pengarah Dewan dan Bahasa Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis penutupan Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI Sekolah Rendah Negeri Johor 2023.

DBPWS amat menyokong usaha pihak sekolah untuk menerapkan elemen bahasa kebangsaan dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual seperti yang dizahirkan dalam penganjuran program pada hari ini. Oleh itu, saya berharap agar semua pihak sama-sama menggembleng tenaga dan usaha untuk menggerakkan pelbagai kegiatan yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan melalui pertandingan mewarna ini.

 

Encik Mohd Riduwan Wahab menyampaikan ucapan penutupan dan perasmian Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI Peringkat Sekolah Rendah Negeri Johor di Dewan SK Taman Molek, Johor.

 

YBrs. Puan Norliza Hashim, Guru Besar SK Taman Molek ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

Sementara itu, YBrs. Puan Norliza Hashim, Guru Besar SK Taman Molek dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa pihak sekolah berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Tambahnya lagi,

Saya berbangga kerana melalui program seperti ini, kita telah berhasil melibatkan kesemua murid di negeri Johor, tidak hanya terhad kepada murid di kawasan bandar tetapi melibatkan murid dari kawasan pedalaman dan komuniti orang asli. Dengan pendedahan sebegini, kita sekarang menyedari bahawa setiap murid mempunyai bakat yang boleh dikembangkan untuk membentuk generasi yang kreatif dan inovatif pada masa akan datang.

YBrs. Puan Norliza Hashim juga yakin bahawa pertandingan mewarna Malaysia MADANI ini berjaya memupuk semangat patriotisme dan memberikan kesedaran kepada murid tentang pengorbanan tokoh dan pejuang kemerdekaan terdahulu melalui lukisan yang mereka warnakan dengan kreativiti serta gabungan warna yang segar dan hidup.

YBrs. Encik Mohd Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS (dua dari kanan) bersama-sama tetamu kehormat ketika melancarkan gimik penutupan Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI.

Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI telah menerima sambutan yang luar biasa dengan penyertaan 150 orang peserta yang terdiri daripada murid Tahap Satu dan Tahap Dua sekolah rendah dari 11 daerah di negeri Johor.

Pertandingan ini juga telah dinilai oleh tiga orang hakim bagi setiap tahap dengan Puan Kamsiah Omar sebagai ketua hakim. Beliau pensyarah dalam bidang seni visual di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggung Ibrahim, Johor.

Semua pemenang termasuklah 13 orang pemenang sagu hati menerima hadiah berupa hamper dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh YBrs.Encik Mohd Riduwan Wahab.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah Encik Razid Sahran (Timbalan Pengarah DBPWS), Encik Norafazi Jaafar (Pegawai PPD Pasir Gudang), Encik Jantan Ismail (Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Taman Molek), Encik Jumaat Jaafar (Ketua PIBG SK Taman Molek), dan Puan Rosalina Awang (Pengurus Projek).

Para pemenang kategori murid Tahap Dua.
Para pemenang kategori murid Tahap Satu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.