Oleh Ezura As'ad Azam
18 Oktober 2023, 18:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka DBP Cawangan Sabah (DBPCS) buat julung-julung kalinya menganjurkan program Jejak Bahasa Jiwa Bangsa sebagai satu daripada pengisian Karnival Semarak Bahasa 2023 pada 17 Oktober 2023 di Kompleks DBP Cawangan Sabah.

Pelaksanaan pertandingan yang melibatkan aktiviti menjejak maklumat sambil menyelesaikan tugasan berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya tempatan ini amat bertepatan dengan ketiga-tiga teras dalam Pelan Strategik DBP, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Selain bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta dalam bidang bahasa, sastera dan budaya tempatan, pertandingan ini juga bermatlamat untuk menyemarakkan semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat, di samping mengukuhkan kesetiaan rakyat terhadap kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Para peserta pertandingan ini terdiri daripada kakitangan pelbagai jabatan kerajaan dan swasta di sekitar Kota Kinabalu. Antaranya termasuklah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, IPG Kampus Keningau, Kolej Teknikal Yayasan Sabah, Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, Jabatan Cetak, Dewan Undangan Negeri, Pusat Minda Lestari, Universiti Malaysia Sabah, Sabah Urban Development Corporation (SUDC), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Bahagian Kabinet dan Dasar, Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Kolej Antarabangsa Almacrest.

Para peserta dibahagikan secara rawak kepada 10 buah pasukan dan setiap pasukan dinamakan berdasarkan makanan tradisi yang terkenal di Sabah. Antaranya termasuklah Kelupis, Jelurut, Hinava, Penjaram, Amplang, Sagol dan Linopot.

Berdasarkan petunjuk yang diberikan, setiap pasukan perlu melepasi enam stesen dan menyelesaikan tugasan tertentu sebelum pasukan tersebut bergerak ke stesen yang berikutnya. Yang menariknya, tugasan yang dirangka bukan sahaja menguji pengetahuan dan menggalakkan kerjasama antara para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum, sementelahan unsur bahasa, sastera dan budaya turut diselitkan melalui kegiatan berpantun, teka peribahasa serta kuiz digital.

Johan pertandingan dinobatkan kepada kumpulan Kelupis, yang menerima hadiah wang yang berjumlah RM1,800.00. Naib johan pula diraih oleh kumpulan Hinava yang memenangi hadiah wang yang berjumlah RM1,500.00, manakala tempat ketiga diraih oleh kumpulan Amplang, yang menerima hadiah wang yang berjumlah RM900.00.

Lima buah kumpulan yang lain membawa pulang hadiah sagu hati, iaitu wang yang berjumlah RM600.00 bagi setiap kumpulan. Semua peserta turut menerima hadiah iringan berupa pingat penghargaan.

Hadiah kepada para pemenang pula telah disampaikan oleh Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBPCS. Majlis penyampaian hadiah tersebut turut dihadiri oleh Puan Jennitah Noordin, iaitu Timbalan Pengarah DBPCS.

 

Kumpulan Kelupis yang muncul johan pertandingan menerima hadiah wang yang berjumlah RM1800.00.
Para peserta menjejak maklumat sambil menyelesaikan tugasan yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya. .

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.