18 Oktober 2023, 19:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabah – Bicara Santai Kearifan Tempatan Sabah dengan tema “Bahasa Kebangsaan dalam Dunia Pempengaruh” merupakan satu daripada program Karnival Semarak Bahasa. Program tersebut berlangsung dengan jayanya pada 17 Oktober 2023 di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Program yang diadakan secara bersemuka ini turut dapat disaksikan secara langsung menerusi media sosial DBP.

Antara objektif pelaksanaan program tersebut adalah untuk membincangkan peranan pempengaruh dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan melestarikan kearifan tempatan di Sabah yang kontemporari dengan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai medium, selain menanam sikap cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan para pengikut dan pempengaruh yang lain.

Pada masa ini, jumlah pengguna media sosial semakin meningkat. Dalam kepesatan peningkatan jumlah pengguna ini, maka wujudnya golongan yang dikenali sebagai pencipta kandungan (content creator) dan pempengaruh atau influencer.

Golongan ini mempunyai banyak pengikut sehingga ada yang mencecah ratusan ribu, malah jutaan pengikut di setiap platform media sosial, terutamanya di aplikasi Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok. Golongan pencipta kandungan tersebut memuat naik pelbagai pengisian kandungan di media sosial. Lazimnya, mereka juga berperanan sebagai pempengaruh.

Oleh sebab golongan ini mempunyai peranan dan pengaruh yang sangat besar kepada para pengikutnya, maka sudah pasti mereka juga mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam mempengaruhi para pengikut mereka agar memartabatkan bahasa kebangsaan dan melestarikan kearifan tempatan di Sabah. Oleh itu, menerusi program ini, tiga orang pembicara yang merupakan antara pempengaruh di Sabah ditampilkan dalam program bicara tersebut.

Pempengaruh pertama, iaitu Stefanus Sergius yang lebih selesa dengan panggilan nama Nonzy menggunakan nama “ApamauMkn Sabah” di media sosialnya memilih pengisian kandungan tentang restoran atau kedai makan yang menarik di Sabah.

Lazimnya, pengisian kandungan yang dipilih seperti menu makanan yang menyelerakan, harga makanan yang murah, kedai atau restoran yang bersih dan keistimewaan tempat makan yang dipilih. Ternyata pengisian kandungan ini telah berjaya mengumpul pengaruh di media sosialnya. Secara tidak langsung, pengisian kandungan beliau telah berjaya mempromosikan kearifan tempatan yang menarik dan unik di negeri Sabah.

Sementara itu, Cikgu Lenz atau nama sebenarnya, Lenzely Salimin juga antara pempengaruh yang ditampilkan dalam program tersebut. Beliau yang mempunyai banyak pengikut merupakan seorang guru Bahasa Kadazandusun di Sekolah Kebangsaan Temuno Teringai Darat, Kota Marudu.

Beliau memilih bahasa Kadazandusun dalam menyampaikan pengisian kandungan di media sosialnya. Menurut beliau, bahasa Kadazandusun wajar dipertahankan untuk generasi akan datang. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga perlu dimartabatkan.

Sesi bicara santai tersebut juga diserikan lagi dengan penampilan pempengaruh yang berlatarbelakangkan seorang doktor perubatan. Dr. Ukim Antiko yang menggunakan nama Ukim Antiko di media sosial menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Perubatan di Hospital Keningau. Beliau mempunyai YouTube Channel Ukim Antiko, yang mempromosikan budaya, bahasa Murut dan daerah Nabawan.

Program tersebut juga dimeriahkan dengan kehadiran penonton dari pelbagai institut pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, IPG Kampus Gaya dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah. Persembahan daripada kumpulan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS turut memeriahkan lagi program tersebut.

Stefanus Sergius atau Nonzy berkongsi pengalamannya sebagai pempengaruh media sosial.
Cikgu Lenz, guru Bahasa Kadazandusun yang berjaya menjadi pempengaruh.
Dr. Ukim Antiko, pempengaruh yang aktif mempromosikan budaya, bahasa Murut dan bahasa daerah Nabawan.
Program yang diadakan secara bersemuka ini turut dapat disaksikan secara langsung menerusi media sosial DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.