22 Oktober 2023, 17:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Segamat muncul sebagai johan Debat Daksina Institusi Pengajian Tinggi Zon Selatan 2023 Piala Datuk Bandar Johor Bahru, bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan yang merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), yang berlangsung pada 21 Oktober 2023 di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru.

Acara penutupan pada petang itu turut disertakan dengan ulasan daripada YBrs. Encik Hanif Nor Azahar, selaku ketua hakim iaitu,

Seorang pendebat yang berjaya memerlukan dedikasi dalam membaca dan menganalisis fakta serta huraian dengan teliti. Jangan pernah ragu-ragu untuk terus mengejar peningkatan dalam kemahiran perdebatan kerana saya yakin dan percaya bahawa pada suatu hari nanti, anda semua merupakan generasi yang akan mendorong kemajuan perdebatan bahasa Melayu ke persada dunia.

Dalam pertandingan debat yang sengit itu menyaksikan pasukan UiTM Kampus Segamat yang terdiri daripada Akmal Aminuddin, Danial Aliff Najmi Mohd Azrul, Aiman Hafiz Alias, dan Ahmad Solehudin Muhammad berjaya membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, wang tunai sebanyak RM1,500.00 dan sijil penghargaan selepas mengatasi saingan daripada lapan buah institusi pengajian tinggi lain di zon selatan Malaysia.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh (Kumpulan A) yang terdiri daripada Ummi Khalilah Azman, Ariff Hakimi Mat Zuki, Muhammad Fauzan Mohd Idrus, dan Wardah Hanim Mohd Hazidan pula muncul sebagai naib johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,200.00 dan sijil penghargaan.

Anugerah pendebat terbaik turut dimenangi oleh pembahas dari UIAM Kampus Pagoh, iaitu Ariff Hakimi Mat Zuki, yang berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM250.00 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, tempat ketiga (bersama) disandang oleh pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UIAM Kampus Pagoh (Kumpulan B), dengan masing-masing berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00 dan sijil penghargaan.

Empat pasukan lain yang terdiri daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, dua pasukan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) – Kumpulan A dan Kumpulan B, serta pasukan dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) pula masing-masing mendapat sagu hati dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM200.00 dan sijil penyertaan.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah YBrs. Puan Ir. Hajah Nazatul Shima Mohamad (Timbalan Setiausaha MBJM), selaku wakil rasmi YB Datuk Bandar MBJB, YBrs. Encik Mohd Riduwan Wahab (Pengarah DBPWS), YBrs. Encik Norezan Omar (Panel Penasihat Perpustakaan Sultan Ismail), YBrs. Puan Fadzlina Abdul Malik (Pengarah Pembangunan Masyarakat MBJB) dan tetamu kehormat yang lain.

UIAM Pagoh (A) yang memenangi naib johan Debat Daksina Institusi Pengajian Tinggi Zon Selatan 2023 Piala Datuk Bandar Johor Bahru.
Tempat ketiga bersama disandang oleh pasukan UIAM Pagoh (B).
Tempat ketiga bersama disandang oleh pasukan UTM Skudai, Johor.
Ariff Hakimi Mat Zuki memenangi Anugerah Pendebat Terbaik dalam Debat Daksina Institusi Pengajian Tinggi Zon Selatan 2023 Piala Datuk Bandar Johor Bahru.
YBrs. Encik Hanif Nor Azahar, selaku ketua hakim ketika memberikan ulasan pada majlis penutupan Pertandingan Debat Daksina Institusi Pengajian Tinggi Zon Selatan 2023 Piala Datuk Bandar.
Para pemenang dan tetamu yang hadir bergambar kenangan pada majlis penutupan Pertandingan Debat Daksina Institusi Pengajian Tinggi Zon Selatan 2023 Piala Datuk Bandar Johor Bahru.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.