25 Oktober 2023, 23:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (RENTAS) 2023 yang diadakan dalam tempoh dua hari di Hotel dan Resort EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM) melabuhkan tirainya pada hari ini dengan kejayaan mengumpulkan 115 pembentang yang terdiri daripada tiga bidang kepakaran, iaitu bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Penganjuran RENTAS 2023 oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Universitas Andalas, dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar bagi kali kedua ini agak unik kerana diadakan secara dua kaedah, iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian, berbeza daripada penganjurannya pada kali pertama yang hanya diadakan secara dalam talian disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Bertempat di Dewan Angsana, Hotel dan Resort EDC, UUM, majlis penutupan yang disempurnakan oleh YBrs. Dr. Syarifah Fazliyaton Shaik Ismail, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, UUM berlangsung secara ringkas tetapi meriah dengan kehadiran para pembentang yang masih setia menunggu hingga saat akhir.

Pihak penganjur yang menyediakan cenderamata kepada pembentang yang makalahnya diiktiraf sebagai makalah terbaik turut menyebabkan pembentang menunggu pengumuman pemenang dalam majlis penutupan.

Dalam ucapan penutupan, YBrs. Dr. Syarifah Fazliyaton Shaik Ismail kagum akan hasil kertas kerja yang dibentangkan dan meminta supaya setiap pembentang bersedia untuk menulis makalah ilmiah kerana ada kertas kerja yang sangat bagus yang sesuai diterbitkan dalam jurnal yang bersesuaian.

Objektif penganjuran RENTAS 2023 adalah untuk mewacanakan isu semasa, cabaran dan potensi yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya Melayu; mewujudkan platform untuk perkongsian idea dan kajian dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu; serta menyemarakkan penerbitan dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Terdahulu, sebelum majlis penutupan ini, telah berlangsung tiga pembentangan ucap tama, serta pembentangan kertas kerja yang diadakan secara bersemuka dan secara dalam talian.

Bagi pembentang ucap tama, sebanyak tiga pembentang telah diundang khas. Prof. Emeritus Dr. Dustin Cowell dari African Cultural Studies, University of Wisconsin–Madison membentangkan tajuk “Teknik Naratif dalam Hikayat Gul Bakawali”. Prof. Madya Dr. Hiroki Nomoto dari School of Language and Culture Studies, Tokyo University of Foreign Studies pula membentangkan tajuk “AI Generatif dan Bahasa Melayu”. Akhir sekali, Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM, membentangkan tajuk “Merabung Nilai Pengajian Bahasa, Sastera dan Budaya Era Digital”.

Dalam majlis penutupan pada hari ini juga, pihak penganjur berharap agar RENTAS 2023 dapat terus berjaya dianjurkan secara dwitahunan dan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan dalam penganjurannya yang akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.