26 Oktober 2023, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah menggalas amanah untuk memperkasakan serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui pelbagai program yang dapat menanam rasa cinta dan megah akan bahasa dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023, DBP dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) telah menjayakan program Malam Bahasa Jiwa Bangsa pada malam tadi.

Pengerusi MMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud mendeklamasikan puisi yang berjudul Ini Rumah Kita.

 

Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang diadakan tersebut antaranya bertujuan untuk memartabatkan bidang perpuisian yang merupakan satu cabang kesusasteraan yang kian digemari oleh orang muda. Program tersebut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi, lagu puisi serta persembahan nyanyian.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari pada program Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

 

 

 

 

 

YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari tampil mempersembahkan puisi teater yang berjudul Harimau Luka, selain Ainin Sofia, Syarah Muyassarah Shahron dan Hariz Saufi Mohd Zamri yang membuka tirai persembahan dengan puisi masing-masing.

Khairul Faiz Mohd Nordin yang merupakan guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang, terus menghangatkan suasana dengan dendangan lagu Lemak Manis, yang dipopularkan oleh Roslan Madun, serta lagu Umpan Jinak di Air Tenang, nyanyian Dayang Nurfaizah.

Dr. Shafa’atussara Silahudin melagukan Syair Rakis dan lagu puisi berjudul Penantian.

Sementara itu, puisi karya SN Datuk Seri A. Samad Said yang berjudul Langkah Lestari menjadi pilihan pasangan Nurzafirah Syazana dan Mohd Faiz Imran dari MMU, dengan diikuti oleh persembahan daripada Izra Imran Razali dari Management & Science University, yang mendeklamasikan puisi yang berjudul Cinta Abadi.

Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa turut diserikan dengan penampilan Dr. Shafa’atussara Silahudin yang melagukan Syair Rakis, serta lagu puisi yang berjudul Penantian.

Ainin Sofia ketika medeklamasikan puisinya.

Lebih menarik lagi ialah persembahan oleh tetamu kehormat, iaitu Pengerusi MMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud dengan puisinya yang berjudul Ini Rumah Kita, selain persembahan pantun oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang menggambarkan kerinduannya terhadap Bumi Kenyalang.

Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa melabuhkan tirai dengan persembahan penutupan oleh artis popular tanah air, iaitu Aris Ariwatan yang menggamatkan Dewan Tun Canselor MMU. Beliau menghiburkan penonton dengan lagu popularnya, iaitu 1, 2, 3, 4 dan Lamunan Terhenti.

Aris Ariwatan menghiburkan penonton dengan lagu popularnya, iaitu 1, 2, 3, 4 dan Lamunan Terhenti.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.