Oleh Yusaida Yusof
26 Oktober 2023, 19:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Norfazrie Isquandy Nurol

Kuching – Pelibatan tiga buah negara di pulau Borneo, iaitu Malaysia, Brunei Darussalam dan Republik Indonesia, khususnya Kalimantan akan menjadikan Persidangan Leksikologi dan Leksikografi Borneo (PALBORNEO) lebih menarik sekiranya negara-negara tersebut turut menyertainya pada masa akan datang. Selain itu, ada cadangan supaya PALBORNEO ini dimasukkan sebagai aktiviti dalam kerjasama Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia (MABBIM).

Demikian antara saranan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dr. Hazami Jahari menerusi ucapannya semasa Majlis Penutupan Persidangan Leksikologi dan Leksikografi Borneo (PALBORNEO) 2023 pada petang tadi di Bilik Mutiara, DeTAR, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Program ini merupakan anjuran DBP dengan kerjasama UNIMAS.

Beliau turut mencadangkan agar persidangan ini diteruskan lagi pada masa hadapan seperti harapan Premier dalam ucapannya pada majlis perasmian PALBORNEO 2023 semalam, iaitu persidangan ini perlu dilaksanakan secara pertemuan berkala.

Selain itu, YBrs. Dr. Hazami Jahari turut menyatakan bahawa DBP akan terus berusaha melaksanakan penyelidikan yang berkaitan dengan bahasa terutamanya bahasa etnik yang ada di Malaysia untuk didokumentasikan sebagai antara khazanah negara yang bernilai.

Terdahulu, YBhg. Prof. Dr. Ambigapathy Pandian, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, yang mewakili YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohd Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS berkata bahawa penganjuran persidangan ini  berjaya mengumpulkan ramai ahli akademik dan pakar dalam bidang bahasa dan linguistik. Beliau juga berharap agar hasil dapatan daripada persidangan ini dapat menambahkan ilmu dan meningkatkan pengetahuan semua pihak dalam bidang bahasa, linguistik dan komunikasi.

YBhg. Prof. Dr. Ambigapathy Pandian, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, mewakili YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohd Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS.

Sementara itu, persidangan yang berlangsung selama dua hari ini telah dihadiri oleh lebih kurang 200 orang peserta. Menurut peserta yang hadir, iaitu Muhammad Syamil Mohd Saad (pelajar tahun akhir Fakulti Bahasa, Pendidikan dan Komunikasi, UNIMAS), beliau berasa bertuah kerana menyertai persidangan ini. Hal ini kerana banyak manfaat yang diperolehnya tentang bahasa terutamanya bahasa etnik yang jarang-jarang didengar atau diketahuinya dibincangkan oleh pembentang.

Muhammad Syamil Mohd Saad, pelajar tahun akhir Fakulti Bahasa, Pendidikan dan Komunikasi, UNIMAS, berasa bertuah kerana menyertai persidangan ini yang banyak memberinya ilmu baharu.

Pendapat beliau turut disokong oleh dua orang rakan sekelasnya, iaitu Ainul Akmalnizam Narahan dan Norhanijah Jarudin. Bagi mereka, persidangan ini sangat menarik kerana mereka dapat mengetahui tentang bahasa sukuan sedia ada dan bahasa sukuan baharu yang dapat menambahkan pengetahuan.

Menurut Ainul Akmalnizam Narahan (kiri) dan Norhanijah Jarudin, persidangan ini banyak mendedahkan mereka tentang ilmu leksikologi dan leksikografi.

Selain itu, mereka turut berharap agar persidangan ini terus diadakan secara berkala dan mencadangkan agar pelajar sekolah seperti pelajar tingkatan enam turut diundang selain pelajar universiti kerana banyak input tentang bahasa dan linguistik dapat dipelajari dan diketahui walaupun secara ringkas yang dapat menambahkan pengetahuan.

Persidangan ini turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib (Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UNIMAS), YBrs. Tuan Haji Mazlan Kiflie (Bendahari UNIMAS), YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP), YBrs. Dr. Rosmadi Baharudin (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai (Pengarah DBP Cawangan Sarawak), YBrs. Puan Aminah Awang Besar (Pengarah DBP Cawangan Sabah) dan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar (Tokoh Bahasa).

Tetamu kehormat, para pembentang, para peserta dan tetamu undangan bergambar kenangan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.