Oleh Avatar photo Yusaida Yusof
26 Oktober 2023, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching  Sekretariat Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksikografi Borneo (PALBORNEO 2023) telah menerima dua buah kertas ucap utama dan 43 buah kertas kerja dari dalam dan luar negara. PALBORNEO 2023 dilaksanakan secara bersemuka dan secara dalam talian sepanjang dua hari persidangan ini berlangsung di DeTAR, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Program ini anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kertas kerja tersebut yang bertemakan “Pelestarian Bahasa Peribumi Borneo” berdasarkan skop seperti leksikologi dan bahasa peribumi, leksikografi dan bahasa peribumi, pendokumentasian bahasa peribumi, perkamusan dwibahasa bahasa peribumi, perkamusan dan pemelajaran bahasa, pembugaran bahasa peribumi dan laporan projek atau penyelidikan leksikologi bahasa peribumi.

Hasil kupasan daripada kesemua kertas kerja dan perbincangan daripada peserta yang mengambil bahagian telah merumuskan beberapa resolusi PALBORNEO 2023. Rumusan pelaporan tersebut diumumkan pada Majlis Penutupan PALBORNEO 2023 oleh YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, yang merangkap Pengerusi Bersama persidangan tersebut.

Hasil resolusi PALBORNEO 2023 seperti yang berikut:

    1. Persidangan ini dicadangkan diadakan secara dwitahunan dengan pelibatan tiga buah negara di kepulauan Borneo, iaitu Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia, khususnya Kalimantan.
    2. PALBORNEO boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan sebagai aktiviti dalam kerjasama Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).
    3. Usaha pendokumentasian bahasa peribumi di Borneo perlu dilaksanakan untuk melestarikan warisan budaya dan kearifan tempatan kerana kebanyakan bahasa peribumi mengalami risiko kepupusan.
    4. Projek pendigitalan dan pembangunan portal bahasa peribumi perlu dilaksanakan dan dipergiat.
    5. Kerajaan negeri perlu memainkan peranan penting dan menyokong usaha pelbagai pihak dalam mendokumentasikan bahasa dan budaya peribumi.
    6. Dalam pendidikan, bidang leksikografi dan leksikologi boleh dijadikan satu daripada bidang yang diajarkan di peringkat institusi pengajian tinggi.
    7. Perakaman bahasa peribumi dalam bentuk kamus dan buku merupakan suatu usaha pemertahanan dan pembugaran (language maintenance and revitalisation) semula bahasa yang berkenaan.
    8. Institusi keluarga dan masyarakat memainkan yang peranan penting dalam memastikan bahasa peribumi dilestarikan dan dibugarkan sepanjang masa.
YBrs. Aminah Awang Basar ketika mengumumkan resolusi PALBORNEO 2023.

Terdahulu, penganjuran PALBORNEO 2023 ini bertujuan mengupayakan satu pertemuan ilmiah bagi mengajak para sarjana dalam bidang leksikologi dan leksikografi serta pengamal perkamusan yang bukan sahaja dari dalam negeri malah dari serata mancanegara untuk sama-sama berkongsi ilmu dan menyajikan beberapa penyelidikan dan laporan aktiviti yang dilakukan terhadap bahasa peribumi yang terdapat di Kepulauan Borneo.

Pengumuman resolusi tersebut diadakan di Dewan Mutiara, yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Ambigapathy Pandian (Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS), YBrs. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib (Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UNIMAS), YBrs. Tuan Haji Mazlan Kiflie (Bendahari UNIMAS), YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP), YBrs. Dr. Rosmadi Baharudin (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai (Pengarah DBP Cawangan Sarawak), dan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar (Tokoh Bahasa).

Ucap utama oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar semasa pembentangan kertas Ucap Utama 1.
Pembentang dalam sidang pleno, Dr. Jürgen Martin Burkhardt.

 

Encik Mohd Fadzly Tajuid dan Encik Mohd. Amran Daud membentangkan laporan yang bertajuk “Program UNESCO Melestarikan Bahasa Sukuan, Bahasa Daerah dan Bahasa Orang Asli: Pengalaman dan Cabaran”.
Sebahagian peserta PALBORNEO 2023 di Bilik Serindit.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.