Oleh Nimoiz T.y
26 Oktober 2023, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Bahasa kolokial merujuk bahasa yang tidak rasmi dalam pertuturan masyarakat seharian. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kolokial bererti bersifat bahasa percakapan atau bahasa basahan, iaitu bukan bahasa baku. Lazimnya, penggunaan bahasa basahan lebih mesra kerana dituturkan bersama oleh mereka yang berada dalam status sosial yang sama.

Dalam usaha melestarikan keberadaan bahasa ini, program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti, anjuran Arkib Negara Malaysia (ANM) di bawah Kementerian Perpaduan Negara ini telah berlangsung pada hari ini dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.  

Program yang dipengerusikan oleh Dr. Mohd Nazri  Zainuddin dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh yang berjaya menarik perhatian lebih 250 orang peserta telah diadakan di Impiana Hotel Ipoh, Perak. Dengan mengambil lokasi negeri Perak yang kaya dengan pelbagai ungkapan, tema yang dipilih untuk program tersebut ialah “Moh Labun Loghat Perak”.

Menurut YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof, iaitu Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara, yang mewakili YB Datuk Aaron Ago Dagang, iaitu Menteri Perpaduan Negara ketika merasmikan majlis ini berkata bahawa bahasa pertuturan atau bahasa dialek dalam kalangan komuniti boleh menjadi input kepada bahasa standard.

Tambahnya, kehadiran bahasa ini masih lagi signifikan dalam memperkukuh bahasa standard yang digunakan secara rasmi dalam sebarang urusan.

Penggunaan bahasa kolokial dan bahasa dialek dalam kalangan masyarakat ini perlu dipertahankan agar tidak berlaku kepupusan meskipun kehidupan kita dipengaruhi oleh kemodenan dan kecanggihan teknologi. Sebagai kementerian yang menaungi ANM, Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa menyokong inisiatif murni yang dilaksanakan ini demi pengukuhan semangat perpaduan dan kejayaan wawasan Malaysia MADANI.

Pada sesi pertama program, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin, iaitu Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka telah membincangkan topik yang berkaitan dengan konsep dan penggunaan bahasa kolokial.

Sementara itu, YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin yang merupakan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia berkongsikan pandangan berkenaan dengan pengekalan dan peralihan penggunaan dialek Perak. Sebagai penutupan sesi, pengarah filem yang tidak asing lagi di Malaysia, iaitu Encik Mior Hashim Manap pula menyentuh tentang penggunaan bahasa kolokial dalam penerbitan drama.

Pembicara bagi sesi kedua pula terdiri daripada Encik Noor Azni Yahya (pensyarah IPG Kampus Ipoh), Presiden Karyawan Perak, iaitu YBrs. Dr. Zabidin Ismail, Encik Ahmad Jihadi Abu Samah (IPG Kampus Ipoh) dan YBrs. Dr. Asri Che Mat (IPG Kampus Ipoh).

Majlis penyerahan cenderamata kepada tetamu kehormat.
Para tetamu kehormat dan pembicara program bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.