29 Oktober 2023, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol

Gedong YB Tuan Haji Safiee Haji Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.43 Daro telah menyempurnakan majlis Malam Bahasa Jiwa Bangsa dan Penangguhan Program Semarak Bahasa bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Masyarakat Gedong, semalam.

Dalam ucapannya, YB Tuan Haji Safiee Haji Ahmad menyeru semua pihak agar sama-sama berganding bahu dengan DBP, serta agensi lain dalam membina tradisi keilmuan, khususnya melalui bidang kebahasaan dan kesusasteraan dalam kalangan masyarakat di Sarawak, di samping membentuk jati diri citra bangsa Malaysia, serta mengeratkan perpaduan bangsa.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa DBP Cawangan Sarawak sentiasa bersiap siaga mendukung dasar kerajaan serta melakukan setiap perubahan berdasarkan keperluan masyarakat Sarawak, khususnya dalam kalangan masyarakat desa dan pedalaman.

Pada majlis yang sama, YB Tuan Haji Safiee Haji Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Teka Silang Kata Kategori Sekolah Menengah yang berlangsung pada hari yang sama di SMK Gedong.

Majlis tersebut juga dimeriahkan dengan tayangan video khas dengan paparan aktiviti sepanjang pelaksanaan Semarak Bahasa, persembahan daripada kumpulan gendang Melayu Sarawak dan Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBP Cawangan Sarawak), YBrs. Encik Hasbi Ancheh (Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan) dan YBhg. Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah (Sasterawan Negeri Sarawak ke-3).

Pemenang Teka Silang Kata Kategori Sekolah Menengah merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama tetamu kehormat.
Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak tidak melepaskan peluang bergambar bersama-sama tetamu kehormat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.