Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTanjong Malim – Masyarakat kini melabel golongan muda atau belia sebagai golongan yang kian “lesu” dalam konteks cakna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana pada masa ini, mereka kurang peka terhadap perkembangan isu kebahasaan sama ada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa. Oleh itu, penganjuran program sebegini merupakan langkah permulaan yang cukup baik bagi melahirkan para pemimpin yang berketerampilan menarik dan bersifat global.
Demikian antara ini pati ucapan YBrs. Encik Armin Azhari Saleh, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara semasa Majlis Perasmian Penutupan Program Cakna Bahasa bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2023, semalam.
Menurut beliau, program seperti ini mampu menjadi saluran kepada para belia yang akan meneruskan nadi kepimpinan kelak untuk terus menunjukkan pemikiran yang matang dan kritis dalam menyampaikan idea yang berkaitan dengan bahasa Melayu tercinta.
Program ini anjuran DBP Wilayah Utara dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Persatuan Bahasa Melayu (Perbayu), FBK.
Sepanjang program berlangsung, beberapa aktiviti diadakan termasuklah ceramah seperti “Betulkan Kesalahan Bahasa Anda” yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Beliau berkongsi ilmu tentang kesalahan bahasa yang sering dituturkan oleh masyarakat terutamanya golongan remaja. Sesi ceramah ini dihadiri oleh mahasiswa UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.
Menurut beliau, pada masa ini, kesalahan bahasa sudah menjadi satu perkara biasa kepada masyarakat. Masyarakat tidak menggunakan tatabahasa yang betul kerana mereka menganggap bahawa situasi ini merupakan perkara biasa tetapi sebenarnya terdapat kesalahan.
Selain itu, beberapa pertandingan seperti Pertandingan Menulis Esei dan Pertandingan Video Pendek Pidato juga diadakan. Sebanyak 10 buah institut pengajian tinggi awam, tiga buah institut pendidikan guru, dua buah Kolej Matrikulasi dan dua buah institut pengajian tinggi swasta telah terlibat dalam aktiviti yang dijalankan. Melalui program ini, para peserta dapat mengasah bakat dalam penulisan dan pengucapan serta dapat meningkatkan penguasaan mereka dari aspek bahasa.
Antara aktiviti lain yang diadakan termasuklah Kuiz Kesalahan Bahasa dan Reruai Permainan Bahasa Terbaik bagi menarik minat mahasiswa untuk menyertai program tersebut.