Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Bengkel Antarabangsa Asimilasi dan Nilai Kreatif dalam Penghasilan Dokumentari dan Penulisan, anjuran Techno Crew Club, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam, bersama-sama Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA), Kuala Lumpur dan SMA Muhammadiyah 1, Gersik, Indonesia, telah berlangsung di FSR, UiTM Shah Alam, Selangor pada petang semalam.
Tujuan penganjuran bengkel ini untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar FSR, UiTM, Shah Alam, tentang nilai kreatif yang perlu diterapkan dalam penghasilan dokumentari dan penulisan menerusi kolaborasi pengajaran.
Sebanyak tiga orang penceramah telah terlibat dalam bengkel tersebut. Penceramah pertama ialah Puan Jamiaton Kusrin dari FSR, UiTM Shah Alam, yang mengetengahkan nilai yang perlu dimiliki pelajar FSR, UiTM Shah Alam.
Sementara itu, menurut penceramah kedua, iaitu Dewi Musdalifah dari SMA Muhammadiyah 1, Gersik, Indonesia, menegaskan bahawa kolaborasi dalam menghasilkan karya kreatif itu penting kerana hasil akhir karya itu mestilah boleh bercerita kepada para penonton.
Dr. Mohd Ghazali Haji Taib dari IPGKBA, Kuala Lumpur pula mengupas isu yang berkaitan dengan penyerlahan kualiti diri dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya menggunakan kreativiti yang dimiliki. Menurut beliau, meskipun melibatkan proses yang panjang, namun berbaloi untuk diberi perhatian oleh para pelajar universiti.
Sebelum sesi berakhir, para pelajar berpeluang terlibat dalam sesi soal jawab yang santai namun membantu percambahan minda.