Oleh Ana Mohd Bess
5 November 2023, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2023 yang diadakan pada kali ini yang bertemakan “Memartabatkan Citra dan Kedaulatan Bahasa Melayu” dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM). Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipilih sebagai tuan rumah pertandingan pada kali ini.

PABM pada kali ini menyaksikan tujuh buah negara layak ke pusingan akhir, iaitu Malaysia, Brunei, Uzbekistan, China, Bangladesh, Sudan dan Timor-Leste. Pusingan awal dan suku akhir telah diadakan secara dalam talian pada bulan September lalu di USM.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.00, berserta dengan piala pusingan dan piala iringan, serta buku terbitan DBP. Naib johan pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM8000.00 dan tempat ketiga dengan hadiah wang tunai sebanyak RM5000.00 berserta dengan piala iringan dan buku terbitan DBP.

Sehubungan dengan itu, Johan Kategori Alam Melayu dimenangi oleh Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah dari Malaysia, yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia. Naib johan pula dimenangi oleh Ivanatasha Abdul Majid, yang juga dari Malaysia, yang mewakili Universiti Teknologi MARA, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Abdul Mujib Awang Sh’minan dari Brunei Darussalam, yang mewakili Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Bagi Kategori Antarabangsa, johan dirangkul oleh Gulzoda Utkurova dan naib johan dimenangi oleh Sarvinoz Akramova Abduvohid Qizi, masing-masing dari Uzbekistan yang mewakili Tashkent State University of Oriental Studies. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Sun Zichang dari China, yang mewakili Beijing Foreign Studies University.

Seterusnya, bagi Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, johan dimenangi oleh Carla Goncalves de Oliveira Sarmento, yang mewakili Universiti Malaysia Sabah dari negara Timor-Leste, naib johan pula disandang oleh Abuelgasim Saadeldin Mansour Mohamed dari Sudan, yang mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan tempat ketiga dimenangi oleh Faizal Muhammad, yang mewakili Universiti Putra Malaysia dari Bangladesh.

PABM mula diperkenalkan pada tahun 2007 yang mempertandingkan tiga kategori, iaitu Kategori Alam Melayu, Kategori Antarabangsa dan Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

Kategori Alam Melayu disertai oleh peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand. Kategori Antarabangsa pula disertai oleh negara selain negara bagi Kategori Alam Melayu, manakala Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia pula terbuka kepada pelajar universiti di Malaysia, selain negara bagi Kategori Alam Melayu.

Matlamat PABM adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus memperkenalkan unsur kebudayaan dan tamadun dalam bahasa Melayu kepada masyarakat dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.