Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGeorgetown – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa serius berusaha serta tegas dalam tindakannya untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ulung yang menjadi teras dalam agenda pendidikan tinggi di negara ini. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu mampu menjadi pemangkin terhadap pembaharuan sistem yang baik dalam diri masyarakat.
“Selain berperanan penting sebagai wahana penyatuan bangsa dan etnik yang rencam dalam sebuah persekitaran sosial yang harmoni, bahasa Melayu juga perlu diangkat sebagai wadah yang dapat menginspirasikan anak muda untuk berkarya dan menjadi bahasa ilmu sebagai perantara dalam membicarakan idea-idea besar.”
Demikian tegas Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2023 di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Menurut YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin, KPT mengusahakan beberapa inisiatif yang bermatlamat untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam agenda pendidikan negara termasuklah pelancaran Pelan Tindakan Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di institut pengajian tinggi (IPT), penganugerahan tokoh bahasa, penubuhan kursi-kursi bahasa Melayu dan kerjasama erat dengan pelbagai institusi yang menawarkan pengajian yang berkaitan dengan bahasa Melayu di seluruh dunia.
Beliau menjelaskan bahawa KPT turut mempunyai sasaran dalam mengangkat kedudukan bahasa Melayu dan prestij pengajian bidang itu. Antara usaha yang dilaksanakan termasuklah menjadikan bahasa Melayu sebagai tarikan dan pengisian dalam menjayakan diplomasi pengetahuan.
Menurut beliau, hal ini bermaksud bahawa dalam membina dan mengukuhkan hubungan antarabangsa yang berasaskan pengetahuan dan ilmu, bahasa Melayu seharusnya menjadi sebahagian daripada disiplin yang diketengahkan.
Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa yang sejagat dalam menyerlahkan sistem nilai yang baik, khususnya dalam menterjemahkan agenda negara yang merentas kaum dan bangsa. Hal ini selaras dengan idea Malaysia MADANI yang menitikberatkan sistem nilai yang baik. Oleh itu, perkara tersebut harus menjadi pegangan dan citra bangsa yang dibudayakan.
Atas kesedaran itu jugalah, KPT menyambut baik ketegasan YAB Perdana Menteri yang mahukan semua urusan bertulis dan persuratan rasmi kerajaan dilakukan dalam bahasa Melayu.
Usaha tersebut merupakan mesej jelas untuk menterjemahkan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja jiwa bangsa, malah suri dan seri negara yang mempunyai kedudukan istimewa. Bukan sekadar menjadi pengisi Perlembagaan, sebaliknya menjadi amalan yang sebenar dalam segenap ruang dan disiplin,” ujar YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin.
Terdahulu, YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan PABM 2023. Untuk rekod, pertandingan PABM ini telah diperkenalkan pada tahun 2007 yang mempertandingkan tiga kategori, iaitu Alam Melayu, yang disertai oleh peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand, manakala Kategori Antarabangsa pula disertai oleh negara selain lima negara berkenaan. Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia pula terbuka kepada pelajar universiti di Malaysia, selain negara bagi Kategori Alam Melayu.
Sebanyak tujuh buah negara terlibat dalam pusingan akhir pada kali ini, iaitu Malaysia, Brunei, Uzbekistan, China, Bangladesh, Sudan dan Timor-Leste.