6 November 2023, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Pelajar dari Uzbekistan yang mewakili Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS), iaitu Gulzoda Utkurova, telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Antarabangsa Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2023 di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, semalam.

Naib johan bagi kategori tersebut turut dimenangi oleh pelajar dari Uzbekistan, yang mewakili TSUOS, iaitu Sarvinoz Akramova Abduvohid Qizi, dan tempat ketiga pula disandang oleh pelajar dari China, yang mewakili Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU), iaitu Sun Zichang.

Bagi Kategori Antarabangsa di Malaysia pula menyaksikan johan menjadi milik peserta dari Timor-Leste, yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah, iaitu Carla Goncalves De Oliveira Sarmento.

Tempat kedua pula dimenangi oleh pelajar dari Sudan, yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, iaitu Abuelgasim Saadeldin Mansour Mohamed, dan tempat ketiga milik pelajar dari Bangladesh, iaitu Faizal Muhammad yang menuntut di Universiti Putra Malaysia.

Sementara itu, bagi Kategori Alam Melayu, johan dirangkul oleh peserta dari Malaysia, yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah. Pelajar Malaysia yang mewakili Universiti Teknologi MARA, iaitu Ivanatasha Abdul Majid pula dinobatkan sebagai naib johan dan pelajar dari Brunei yang mewakili Universiti Islam Sultan Sharif Ali, iaitu Abdul Mujib Awang Sh’minan pula pemenang tempat ketiga.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan. Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing menerima wang tunai RM8,000 dan RM5,000, berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ketika merasmikan Pertandingan Akhir PABM 2023 semalam berkata,

Pertandingan ini dianjurkan agar masyarakat dunia dapat melihat bahasa Melayu dengan segala keunikannya, pantun yang santun, madah nan indah, gurindam seribu langgam dan puisi yang sarat isinya.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa mengambil langkah serius untuk terus menjadikan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada agenda penting pendidikan tinggi negara seperti pelancaran Pelan Tindakan Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institut pengajian tinggi.

Di bawah pelan tindakan ini, KPT bersetuju dengan saranan agar mata pelajaran umum universiti yang diwajibkan kepada pelajar antarabangsa boleh digantikan dengan Kursus Bahasa Melayu Komunikasi mengikut kesesuaian dan program pengajian di sesebuah universiti.

Beliau juga berkata, usaha KPT turut merangkumi penganugerahan tokoh bahasa, penubuhan kursi-kursi bahasa Melayu dan kerjasama erat dengan pelbagai institusi yang menawarkan pengajian yang berkaitan dengan bahasa Melayu di seluruh dunia.

Katanya, kesemua ini diikhtiarkan kerana yakin akan bahasa Melayu yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan mahu lebih banyak lagi yang mendalami bahasa Melayu sebagai bidang yang penting dan berpotensi.

Tambah beliau, KPT juga menyambut baik ketegasan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahukan semua urusan bertulis dan persuratan rasmi kerajaan dilakukan dalam bahasa Melayu.

Kita ingin pastikan secara jelas bahawa bahasa bukan sahaja jiwa bangsa tetapi bahasa ialah suri dan seri negara yang mempunyai kedudukan istimewa serta bukan sekadar menjadi pengisi Perlembagaan tanpa menjadi amalan yang sebenar dalam segenap ruang dan disiplin.

Beliau turut berterima kasih kepada para peserta PABM kerana memilih dan menyantuni bahasa Melayu, serta mengagumi usaha, minat, dedikasi serta segala kerja keras mereka.

Penganjuran PABM 2023 pada kali ini telah memasuki tahun ke-15 sejak penganjuran pertamanya pada 12 Mac 2007.  Pada tahun ini, USM telah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran PABM 2023 dengan kerjasama rakan strategik, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Malam Kemuncak PABM 2023 yang bertemakan “Memartabatkan Citra dan Kedaulatan Bahasa Melayu di Persada Dunia” turut disiarkan secara langsung melalui Facebook DBP, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan USM.

Peserta dari Timor-Leste yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah, iaitu Carla Goncalves De Oliveira Sarmento dinobatkan sebagai Johan Kategori Antarabangsa di Malaysia.
Peserta Malaysia yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah telah merangkul Johan Kategori Alam Melayu PABM 2023.
Para pemenang dan peserta akhir Malam Kemuncak PABM 2023 bergambar bersama-sama para tetamu jemputan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.