Oleh Nazrul Aziz
16 November 2023, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu, Kelantan – Buat julung-julung kalinya setelah pasca-COVID-19, Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) yang diadakan secara bersemuka telah menobatkan pegawai bomba, iaitu Encik Burhanshah Amril dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Lumpur, sebagai Johan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu bersempena dengan Sambutan Hari Inovasi JBPM.

Selama dua tahun, edisi sebelum ini telah diadakan secara dalam talian kerana kekangan wabak yang melanda dan menyukarkan pertandingan ini untuk diadakan secara bersemuka.

Pertandingan Pidato Bahasa Melayu JBPM ini diadakan untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran pegawai bomba dalam menguasai bahasa Melayu di samping meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai bomba dari segi komunikasi kepada masyarakat.

Pertandingan pada kali ini melibatkan dua sesi penilaian, iaitu sesi saringan yang telah diadakan secara dalam talian dan pusingan akhir yang diadakan secara bersemuka. Pusingan Akhir Pidato Bahasa Melayu JBPM ini telah diadakan di Dewan Kijang 2, Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan, yang melibatkan lima orang peserta akhir.

Sebelum layak ke Pusingan Akhir, Encik Burhanshah Amril bersaing dengan 24 orang peserta yang mewakili JBPM Negeri dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tema yang diangkat bagi pusingan saringan ialah “Mengukuhkan Perkhidmatan Kebombaan melalui Teknologi IR 4.0”, manakala bagi pusingan akhir pula bertemakan “Pengislahan Dasar Kebombaan dan Penyelamat Negara dalam Memperkasakan Masyarakat MADANI”.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang Amat Setia Dato’ Sri Abdul Wahab Haji Mat Yasin, iaitu Ketua Pengarah, JBPM pada Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Minggu Inovasi JBPM di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, Kelantan, yang diadakan semalam.

Naib johan pula dimenangi oleh Nazmi Gitol (JBPM Negeri Pahang) dan tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Saleh Muli (JBPM Negeri Sabah).

Seorang peserta akhir sedang menyampaikan pidato.
Para peserta bergambar bersama-sama barisan hakim dan urus setia pertandingan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.