Oleh Nazrul Aziz
23 November 2023, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Bersempena dengan sambutan Hari Integriti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pertandingan Debat Peringkat Akhir YAS Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tahun 2023 telah diadakan semalam.

Pertandingan peringkat akhir ini berlangsung di Dewan Dato’ Hamzah, Ibu Pejabat JBPM Negeri Sembilan, yang mengetengahkan pasukan debat JBPM Negeri Kelantan yang bertindak selaku Kerajaan dan JBPM Negeri Selangor selaku Pembangkang. Usul yang telah digagaskan pada peringkat akhir ini ialah “Bina Modal Insan: Mendidik Lebih Berkesan daripada Menghukum”.

Selain untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Integriti JBPM, pertandingan ini turut diadakan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan penjawat awam di samping memberikan pendedahan ilmu komunikasi serta memberikan nilai tambah kepada para pegawai bomba.

Pasukan Debat JBPM Negeri Selangor yang dianggotai oleh Encik Mohd Nazrullah Abdul Aziz, Encik Mohamad Azizulhakim Idris dan Encik Mohd Amirul Shafiq Mahrim telah dinobatkan sebagai johan pertandingan. Sementara itu, Encik Mohamad Azizulhakim Idris turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik.

Sebelum ini, pasukan JBPM Negeri Selangor telah mengalahkan beberapa buah pasukan lain yang antaranya termasuklah JBPM Negeri Sabah (pusingan awal), JBPM Labuan (suku akhir) dan JBPM Negeri Johor (separuh akhir).

Bagi pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir, pertandingan ini telah dijalankan secara dalam talian manakala peringkat akhir pula dijalankan secara bersemuka.

Pertandingan peringkat akhir ini telah diadili oleh YBrs. Dr. Azizul Hj. Ismail dari Dewan Bahasa dan Pustaka selaku ketua juri, YBrs. Encik Mohd Huzail Mohd Mansor dari Unit Integriti, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan YBrs. Encik Mohamad Bukhari Che Man dari Unit Integriti, JBPM.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Syed Azman Syed Ghazali, Ketua Unit Integriti, JBPM.

Pasukan debat JBPM Selangor menerima hadiah kemenangan.
Pasukan debat JBPM Selangor sebagai pasukan Pembangkang.
Ucapan tahniah daripada JBPM Selangor.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.