23 November 2023, 22:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim (Prof. Nik Safiah) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Kelantan 2023 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan.

Majlis yang berlangsung pada 6 November 2023 lalu di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang Prof. Nik Safiah yang berkemampuan dan berkaliber dalam mengembangkan dan memartabatkan bahasa Melayu. Sumbangan dan pelibatan beliau dilihat amat memberikan kesan dan berterusan.

Sehubungan dengan itu, satu sesi kunjungan hormat telah diadakan dengan penyerahan Watikah Penghormatan Tokoh Bahasa Kelantan 2023 kepada Prof. Nik Safiah di kediamannya oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari. Yang turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Encik Sharrul Rizal Hashim, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, dan dua orang pegawai pejabat DBP Wilayah Timur, Puan Zahani Che Ismail dan penulis.

Ternyata beliau amat teruja dan berbesar hati atas pengiktirafan Tokoh Bahasa Kelantan yang diberi oleh pihak DBP kepadanya. Beliau juga memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke Majlis Penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 lalu atas faktor kesihatan.

Beliau secara peribadinya menyokong perjuangan DBP dan cetusan idea Ketua Pengarah DBP untuk menzahirkan satu anugerah khas kepada pendukung, pejuang dan pengembang bahasa Melayu. Perkara ini bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada tokoh-tokoh bahasa yang berada di baris hadapan berjuang bersama-sama DBP, memartabatkan dan mengembangkan bahasa Melayu sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

Prof. Nik Safiah dilihat melepasi kriteria pemilihan unggul yang ditetapkan seperti penilaian terhadap sumbangan pemikiran dan penulisan yang berkaitan dengan ilmu bahasa dalam mengembangkan dan memartabatkan bahasa. Perhatian turut diberikan terhadap kegiatan Prof. Nik Safiah yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan bahasa. Sumbangan Prof. Nik Safiah secara berterusan dan pencapaiannya pada peringkat negeri atau kebangsaan turut diambil kira.

Selain itu, sumbangan dan sanjungan yang diterima oleh Prof. Nik Safiah pada peringkat institusi, kebangsaan atau antarabangsa berasaskan sumbangannya dalam memartabatkan bahasa Melayu, termasuklah sebagai penyampai ucap utama, penceramah undangan, panel pakar rujuk, lembaga pengarang jurnal, penilai program akademik, penilai kepakaran, penulisan atau penampilan dalam media turut menyokong pemilihannya.

Prof. Nik Safiah memiliki kekuatan tersendiri sebagai tokoh yang mengembangkan, memaju dan memperluas ilmu bahasa Melayu dalam dan luar negara. Bidang tumpuannya khusus dan konsisten dalam bidang kebahasaan, terutamanya yang berkaitan dengan tatabahasa bahasa Melayu melewati tempoh penglibatan lebih 60 tahun.

Penulis mewakili Prof. Nik Safiah menerima Watikah Penghormatan daripada YBM Tengku Temenggong Kelantan.
Sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah DBP dengan pengisian pengalaman oleh Prof. Nik Safiah.
Ketua Pengarah DBP menyampaikan Watikah Penghormatan Tokoh Bahasa Kelantan 2023 kepada Prof. Nik Safiah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.