24 November 2023, 13:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Program Wacana Buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah anjuran bersama Karyawan Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Majlis Kebudayaan Negeri Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak telah berlangsung pada 23 November 2023.

Program ini diadakan di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak yang menampilkan tiga ahli panel yang terdiri daripada ahli akademik bagi membentangkan buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Program ini turut dihadiri oleh tetamu kehormat yang terdiri daripada Orang Besar Jajahan di Perak.

Antara objektif utama program ini termasuklah untuk meningkatkan kefahaman warga Perak, khususnya para pembesar negeri terhadap wawasan dan pemikiran DYMM Tuanku Sultan.

Program ini juga untuk menjadikan titah DYMM Tuanku Sultan sebagai pedoman dalam mentadbir negeri di peringkat pentadbiran masing-masing dan mewujudkan perasaan bangga dalam sanubari warga Perak terhadap keintelektualan DYMM Tuanku Sultan sebagai pemerintah negeri.

Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah dilancarkan oleh KDYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 21 Oktober 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Untuk buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, editor buku tersebut ialah Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zain dan buku ini juga diterbitkan oleh DBP serta telah dilancarkan pada 5 Ogos 2023.

Menurut YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim, kandungan utama yang terdapat dalam buku ini berkenaan dengan memperteguh kefahaman semua pihak terhadap fungsi institusi Kesultanan Melayu dalam sistem pemerintahan kerajaan Malaysia dengan menyoroti lima fasa perkembangan. Lima fasa perkembangan yang dinyatakan dalam buku ini ialah sejarah yang mentradisikan, era campur tangan kuasa penjajah dari Eropah, era pascamerdeka, era semasa dan era masa depan.

Tambah beliau, buku ini disusun dengan mendahulukan perkara yang menyentuh tentang Pasak Negara, iaitu institusi kesultanan, perlembagaan, pentadbir dan rakyat sebagai perkara utama dalam keseluruhan titah yang disusun dalam buku tersebut.

Buku Siri Titah II ini juga dizahirkan dalam gaya bahasa yang baik, sesuai dan santun. Buku ini juga menggunakan gaya bahasa seperti denotatif dan konotatif, gramatis dan puitis serta disulam dengan peribahasa Melayu yang indah, gramatis dan autentik.

Selain itu, buku ini juga mempunyai pesanan utama yang perlu difahami oleh kerajaan selaku pentadbir atau kerajaan. Antaranya termasuklah yang berkait dengan tataurus negara, menguasai seni pengurusan negara yang memerlukan upaya urus tadbir yang halus dan bijaksana, tidak menyeleweng serta jauh daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut ahli panel kedua, iaitu YBrs. Dr. Jelani Harun, beliau memberikan gambaran tentang pengetahuan dan penghargaan tinggi DYMM Sultan Nazrin Shah berdasarkan kepentingan sejarah yang berhubungan secara langsung dengan perkembangan semasa dalam negara.

Satu daripada kekuatan buku Siri II Sultan Nazrin Shah ini terserlah melalui corak pemikiran DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang seimbang dan saksama dalam menyatakan kelebihan dan kelemahan pihak raja. Pada masa yang sama juga terbuka menerima suara rakyat dan terbuka apabila memberikan nasihat atau teguran kepada raja dan rakyat.

Tajuk pembentangan beliau berdasarkan buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini ialah “Berkubu di Atas Gunung Sejarah”.

Sementara itu, menurut YBrs. Prof.  Madya Kehormat Dr. Ahmad Jelani Halimi, dalam buku ini, DYMM telah menyentuh pelbagai perkara termasuk perkhidmatan kesihatan ketenteraan di negara ini dan peranan guru sebagai pembina negara bangsa. Buku ini juga membincangkan perkara yang berkaitan dengan Menteri Besar Perak, kepimpinan politik dan pentadbiran dan pelantikan pegawai kehakiman syariah.

 

Ucapan alu-aluan oleh YBrs. Dr. Haji Zabidin Hj Ismail, Presiden Karyawan Perak.
YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim ketika membentangkan hasil kandungan buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
YBrs. Dr. Jelani Harun menyatakan bahawa buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terserlah melalui corak pemikiran DYMM Sultan Nazrin Shah yang seimbang dan saksama.
Menurut YBrs. Prof.  Madya Kehormat Dr. Ahmad Jelani Halimi, buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut membincangkan perkara yang berkaitan dengan Menteri Besar Perak, kepimpinan politik dan pentadbiran dan pelantikan pegawai kehakiman syariah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.