26 November 2023, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Desir Bahasa Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter membuktikan pemerkasaan bahasa kebangsaan serta penggalakan budaya membaca boleh dilakukan melalui kaedah pelaksanaan yang kreatif dan unik dengan kerjasama pelbagai agensi.

Lebih kurang 150 orang guru dan murid pelbagai bangsa menaiki kereta api dari Stesen KTM Kuala Lumpur dan menjalani Program Galakan Membaca sepanjang perjalanan ke Stesen KTM Sungai Gadut di Negeri Sembilan sebelum meneruskan aktiviti bahasa dan sastera di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Senawang.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (empat dari kiri) mewakili YB Menteri Pendidikan bergambar bersama-sama tetamu kehormat dan peserta program.

Program ini diadakan buat julung-julung kalinya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Penerangan Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Perpustakaan Negara Malaysia dan Majlis Bahasa Cina Malaysia.

“Program ini merupakan wahana untuk masyarakat khususnya bagi pihak swasta untuk menzahirkan sokongan dan iltizam dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan di negara kita,” ujar Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, mewakili YB Menteri Pendidikan dalam ucapannya semasa merasmikan program tersebut di Stesen KTM Kuala Lumpur, semalam.

Tambah beliau, penganjuran program ini juga untuk menepis pandangan sempit sesetengah golongan yang mengatakan bahawa bahasa dan sastera, khususnya puisi hanya diminati oleh golongan sasterawan dan bersifat eksklusif kepada kelompok tertentu.

Bahasa dan sastera mampu menjadi wahana penyampaian hasrat nurani yang digunakan dengan meluas dan mampu menjadi elemen penting dalam pembentukan keperibadian individu dalam kalangan semua lapisan masyarakat di negara ini, terutamanya dalam kalangan anak muda pelbagai kaum di negara kita yang rencam dan pelbagai budaya ini.

Antara aktiviti yang dianjurkan di SJKT Ladang Senawang termasuklah Pertandingan Deklamasi Sajak Sasterawan Negara dan Program Silang Budaya yang turut melibatkan 50 orang guru dan murid sekitar Negeri Sembilan.

Majlis Penutupan Program Desir Bahasa KTM Komuter pula disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan (JPNNS), iaitu YBrs. Encik Mohd Wazir Hamzah, mewakili Pengarah JPNNS di SJKT Ladang Senawang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.