30 November 2023, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur YBhg. Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara simboliknya telah menyerahkan buku pantun Kurik Kundi Merah Saga kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk menjadi bahan rujukan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Rakyat, yang secara tidak langsung dapat memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu melalui pantun.

Buku pantun Kurik Kundi Merah Saga tersebut telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan pemasyhuran yang berkaitan dengan sumbangan buku oleh DBP tersebut telah dibuat oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada sesi akhir Parlimen yang diadakan semalam.
Terdahulu, DBP telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Johari Abdul di pejabatnya pada 29 November 2023.  Kunjungan tersebut diketuai oleh YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk membincangkan kerjasama pelaksanaan aktiviti antara Parlimen Malaysia dengan DBP, serta membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan bahasa dan persuratan Melayu.
Dalam pertemuan tersebut, Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga meminta DBP agar terus menggiatkan penerbitan bahan yang berkaitan dengan tokoh-tokoh di Malaysia sebagai satu usaha pendokumentasian dan seterusnya menjadi rujukan kepada generasi muda sama ada dalam bentuk biografi, artikel atau rencana dalam majalah dan pelbagai bentuk yang lain.
YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menandatangani Buku Pelawat Parlimen Malaysia sambil disaksikan oleh YB Tan Sri Dato’ Johari Abdul.
Yang turut hadir dalam kunjungan tersebut termasuklah YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Encik M. Azahari Edin, Ketua Bahagian Buku Umum DBP, dan YBrs.Encik Sharrul Rizal Hashim, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.