2 Disember 2023, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyarankan agar pekerja sektor awam di semua peringkat bertindak dengan lebih proaktif dalam usaha permartabatan bahasa Melayu di negara ini.

Usaha pemartabatan bahasa Melayu tidak seharusnya seperti pahat dengan tukul. Apabila tukul bergerak, barulah pahat bergerak. Penjawat awam tidak perlu menunggu Perdana Menteri untuk bersuara terutamanya dalam hal pemartabatan bahasa Melayu yang selaras dengan peruntukan Perlembagaan seperti Perkara 152 (6).

Beliau berkata demikian dalam program “Wacana: Hati dan Minda Sasterawan/Karyawan” yang dianjurkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF) di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyatakan bahawa beliau sebagai Senator Dewan Negara telah menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia mengarusperdanakan sekolah vernakular dengan cara menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Dalam sesi wacana tersebut juga dijelaskan bahawa beliau akan membangkitkan persoalan tentang hala tuju negara untuk memajukan bahasa Melayu dalam konteks teknologi kecerdasan buatan (AI) pada sesi Dewan Negara yang terdekat.

Kita mesti bergerak ke arah itu agar tidak ketinggalan kerana tiada siapa yang akan memajukan bahasa Melayu melainkan kita.

Program “Wacana: Hati dan Minda Sasterawan/Karyawan” ini dikemudikan oleh Encik Mohd Khair Ngadiron sebagai moderator.

Terdahulu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan SIBF 2023, semalam. SIBF 2023 berlangsung selama 10 hari bermula semalam hingga 10 Disember depan.

Foto: FB SIBF 2023

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.