13 Disember 2023, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Abang Adik, iaitu filem arahan pertama Lay Jin Ong, membawa kisah penuh liku dalam hidup seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU), dan seorang anak yatim piatu. Sebagai karya yang belum ditayangkan di tanah air sendiri, tetapi telah mencatat sejarah di luar negara dengan pelbagai pengiktirafan, Abang Adik merupakan filem wajib tonton sebelum tirai tahun 2023 ditutup.

Apatah lagi Abang Adik yang telah ditayangkan di Taiwan, mencipta rekod tersendiri apabila menjadi filem kolaborasi MalaysiaSingapura yang paling laris yang pernah ditayangkan di negara tersebut.

Abang Adik yang diterbitkan oleh Pengarah Eksekutif, Sinje Lee dan Alex C. Lo, serta Penerbit, Nicole Teoh dan Trini Lam dari More Entertainment Sdn. Bhd., bersama dengan New Century Southward Development Co. Ltd. yang akan beraksi di pawagam seluruh negara bermula pada 14 Disember ini tidak hanya memenangi hati peminat.

Filem ini telah menarik perhatian festival antarabangsa, seperti mencatat rekod sebagai filem Asia Tenggara pertama yang memenangi kategori utama Festival Filem Timur Jauh (FEFF) Ke-25, termasuklah Anugerah Audiens Kenangan Emas, Anugerah Mulbery Putih Tarian Hadiah Kritik Naga Hitam di Udine, Itali.

Bukan sahaja diiktiraf oleh FEFF ke-25, Abang Adik yang menampilkan gandingan pelakon hebat, iaitu Jack Tan dari Malaysia, dan Wu Kang Ren (Taiwan) ini turut merangkul 10 pengiktirafan termasuklah anugerah di Festival Filem Asia New York 2023 (edisi ke-22), dan Pilihan Rasmi Utama 2023 di China.

Bakat lakonan luar biasa Kang Ren telah diiktiraf dengan empat kemenangan termasuklah di Anugerah Kuda Emas Ke-60 Taipei (tujuh pencalonan), iaitu Aktor Terbaik, serta Festival Filem Antarabangsa Utama Ke-13 sebagai Persembahan Terbaik, Persembahan Utama Terbaik, dan Festival Filem Antarabangsa QCinema – Gelombang Berikutnya Asia di Filipina.

Abang Adik yang bergenre drama diedarkan oleh mm2 Entertainment.  Filem berdurasi 114 minit ini juga disokong oleh Kementerian Komunikasi Malaysia, dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Walaupun pertama kali mengarah filem, Jin Ong yang terlebih dahulu dikenali sebagai penerbit berjaya membawa penonton menelusuri dilema kehidupan penuh kemiskinan, dan kesempitan hidup dua orang adik-beradik yatim piatu, iaitu abang, OKU bisu pekak, lakonan Kang Ren, dengan adiknya, Adi (Tan) yang sentiasa hidup dalam kemarahan. Berlaku satu tragedi yang menguji hubungan mereka. Jin Ong telah mengupas konflik, dan dilema abang  dan adik berkenaan dengan begitu cantik.

Sementara itu, judul filem ini juga menarik. Penggunaan perkataan “abang” dan “adik” semasa sidang media selepas tayangan pratonton filem Abang Adik di GSC The Starling Mall pada 11 Disember lalu adalah untuk kelainan.

Menurut Jin Ong, Brotherhood atau Two Brothers atau lain-lain tajuk sebagai contoh sudah biasa digunakan dan klise. Beliau turut menyifatkan pengiktirafan untuk Abang Adik oleh pelbagai festival dunia merupakan petunjuk baik terhadap karya Asia Tenggara yang boleh berdiri sama tinggi dengan karya dari negara terkenal dunia.

Penggambaran filem ini pula kebanyakannya dilakukan di Pudu, Kuala Lumpur. Latar tempat di kawasan Kuala Lumpur yang agak tersembunyi dan kurang dikenali menambahkan keaslian dan keunikan naratif Abang Adik, lantas menjadikannya sebuah naskhah penting dalam industri perfileman Malaysia.

“Pengiktirafan dan kemenangan yang bertaraf dunia menerusi pengisian Abang Adik yang mengangkat tema kehidupan, kekeluargaan, pengorbanan dan kasih sayang dalam balutan kreativiti karyawan seni dua negara yang sama tujuan membuktikan karyawan Asia Tenggara mampu berdaya saing,” kata Jin Ong.

Dengan perhatian dan pengiktirafan meluas di seluruh dunia, filem Abang Adik turut membawa kata nama dalam bahasa Melayu ini. Pasti orang bukan Melayu atau rakyat luar negara mahu tahu apakah “abang” dan “adik” itu. Dialog filem Abang Adik pula dalam tiga bahasa, iaitu Mandarin, Kantonis dan Melayu.

Selain Jin Ong, Kang Ren dan Tan, yang turut menghadiri sidang media itu ialah Sinje Lee, Tan Kim Wah (watak Money), dan penata muzik dari Jepun, Ryota Takayama. Yang turut membintangi Abang Adik ialah aktor handalan Malaysia, Bront Palarae sebagai ketua sindiket kemasukan pendatang asing tanpa izin, serta Serene Lim, dan April Chan.

Lay Jin Ong berasal dari Taiping, Perak.
Lay Jin Ong (dua dari kiri) semasa sidang media selepas tayangan pratonton filem Abang Adik di GSC The Starling Mall.
Pengarah Eksekutif filem Abang Adik, Sinje Lee.
Filem ini menerima tujuh pencalonan dalam Anugerah Kuda Emas Ke-60 Taipei.
Jack Tan (kanan) dan Wu Kang Ren, pelakon utama filem Abang Adik.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.