Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Hanafi
Shah Alam – Pertandingan Peringkat Akhir Debat Diraja antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 telah berlangsung semalam di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, yang disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin Abdul Rahman.
Pertandingan Debat Diraja Edisi Ke-24 ini disertai oleh 85 buah IPT yang merangkumi 28 universiti awam dan swasta di Malaysia telah bermula pada 17 November lalu serta dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori Bahasa Melayu (Utama), Kategori Bahasa Inggeris dan Kategori Bahasa Arab.
Keputusan pertandingan ini memihak kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dinobatkan sebagai johan manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula di tempat kedua bagi Kategori Bahasa Melayu (Utama) setelah membahaskan usul yang bertajuk “Dewan ini akan Memberi Keutamaan kepada Pembinaan Tenaga Manusia Berbanding dengan Pembangunan Kecerdasan Buatan”. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai yang berjumlah RM5,000.00 dan RM3,000.00, trofi, sijil penghargaan serta hadiah buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sementara itu, Anugerah Pendebat Terbaik (Akhir) Kategori Bahasa Melayu (Utama) pula dirangkul oleh Hafiz Hafizi Norependi daripada UKM, yang membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai berjumlah RM500.00, sijil penghargaan dan hadiah buku sumbangan DBP.
UiTM pula mengungguli Kategori Bahasa Inggeris (Utama) apabila dinobatkan sebagai johan dengan menewaskan Universiti Malaya (UM) selaku naib johan dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai yang berjumlah RM5,000.00 dan RM3,000.00, trofi, sijil penghargaan serta hadiah buku sumbangan DBP.
Haikal Daniel Mohamad Hasli daripada UiTM pula diisytiharkan sebagai Pendebat Terbaik (Akhir) Kategori Bahasa Inggeris (Utama) dengan membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai berjumlah RM500.00, sijil penghargaan dan hadiah buku sumbangan DBP.
Kategori Bahasa Arab (Utama) pula didominasi oleh UM selaku johan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula sebagai naib johan yang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.00 dan RM3,000.00, trofi, sijil penghargaan serta hadiah buku sumbangan DBP.
Ali Haydar Hadizi daripada UM pula berjaya meraih Anugerah Pendebat Terbaik (Akhir) Kategori Bahasa Arab (Utama) dengan membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai berjumlah RM500.00, sijil penghargaan dan hadiah buku sumbangan DBP.
Penganjuran edisi pada kali ini melibatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), serta UiTM selaku tuan rumah pertandingan, manakala DBP merupakan rakan sinergi penganjuran pertandingan debat ini.
Pertandingan debat ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; YBhg. Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah KPT; YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM; YBhg. Datuk Profesor Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM dan para tetamu jemputan, pensyarah serta pelajar universiti.