21 Disember 2023, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pelaksanaan program dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2021 yang bertarikh 26 November 2020, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar murid-murid yang lain diberi peluang untuk mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

Sehubungan dengan itu, menurut YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, KPM beriltizam untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris.

Lawatan di lapangan menunjukkan bahawa terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda. Oleh itu, sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi, termasuklah penguasaan bahasa Melayu. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular.

Tambah beliau, pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing. Pihak sekolah diberi kebenaran untuk membuka lebih daripada satu kelas DLP bagi murid tahun satu dan tingkatan satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan JPN.

Kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah. Pihak KPM mengambil pendekatan manusiawi, iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP. Walau bagaimanapun, pihak sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid tahun satu dan tingkatan satu pada sesi 2024/2025.

Seterusnya, pihak JPN bertanggungjawab untuk memetakan sekolah menengah penerima (acceptor) bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah.

Beliau turut bertegas bahawa KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan. KPM terbuka kepada cadangan serta keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama-sama pemegang taruh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.